Siakap Keli
kereta kabel tergantung
Gambar: The Mirror

15 Pelancong Berjaya Diselamatkan, Kereta Kabel ‘Tergantung’ 4 Jam Akibat Masalah Teknikal

INDIA – Seramai 15 orang pelancong terkandas selama 4 jam di udara selepas dua buah kereta kabel ‘tergantung’ akibat masalah teknikal di pergunungan Himachal Pradesh, India.

Menurut portal Independent, anggota penyelamat segera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan para pelancong yang terkandas.

Adegan penyelamatan itu telah berjaya dirakamkan. Video penyelamatan tersebut memaparkan dua orang penumpang pertama berjaya diturunkan secara perlahan-lahan dengan menggunakan tali.

“Seramai 15 orang terkandas dalam dua kereta kabel,” ujar Onkar Chand Sharma, setiausaha utama Agensi Pengurusan Bencana Himachal Pradesh.

Kesemua penumpang yang dipercayai pelancong dari Delhi itu, berjaya diselamatkan dalam operasi selama 4 jam pada petang Isnin.

Menurut pihak berkuasa, pasukan teknikal pengendali kereta kabel Timber Trail dan pasukan polis tempatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan.

Selain itu, Pasukan Tindakan Bencana Negara (NDRF) turut dihantar ke lokasi kejadian.

Sebuah video dari dalam kereta kabel ‘tergantung’ itu turut disiarkan di mana menunjukkan sebilangan para pelancong yang terdiri daripada warga emas takut untuk turun menggunakan tali.

“Kami tidak dapat turun dengan menggunakan tali. Kami sudah tua. Kami tidak akan dapat turun dan pihak berkuasa dilihat tidak mampu melakukan sebarang tindakan,” ujar salah satu penumpang yang terkandas.

Kereta kabel adalah salah satu tarikan pelancong yang popular di daerah Solan, dan sebahagian daripada resort persendirian Timber Trail.

Terdahulu, pada Oktober 1992, seramai 11 orang terpaksa diselamatkan dengan menggunakan helikopter tentera Udara India akibat terkandas dalam kereta kabel yang sama.

Selain itu, pada April, seramai tiga orang dilaporkan maut selepas terperangkap selama lebih 40 jam akibat masalah teknikal dalam kereta kabel di daerah Deoghar.

Sumber: Independent.co.uk

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.