Siakap Keli
Gambar: Khaleej Times

Adidas Kolaborasi Kasut Edisi Khas Dengan Restoran Di Dubai

Tidak dijangka, jenama sukan terkenal antarabangsa, Adidas mengumumkan kolaborasi kasut edisi khas bersama sebuah restoran ikonik di Dubai, iaitu Ravi Restaurant baru-baru ini.

Menurut Khaleej Times, dalam kolaborasi bersama itu, pihak Adidas Original Superstars telah mencipta kasut edisi khas ‘Superstar Ravi’ dengan warna tema putih dan hijau.

Pengasas Ravi, Chaudary Abdul Hameed berkata, dia berasa bangga melihat usahanya memperkenalkan selera warisan Pakistan ke meja hidangan mendapat perhatian Adidas.

“Saya berasa sangat merendah diri melihat begitu banyak budaya dan komuniti berkumpul untuk meraikan tradisi serta warisan kita melalui makanan.

“Kami telah menyediakan makanan kepada penduduk Dubai selama lebih 40 tahun, merentasi generasi demi generasi.

“Dan kini, membawa kisah kami ke meja hidangan dengan cara berbeza (kasut) adalah detik yang boleh dibanggakan oleh keluarga kami,” katanya, memetik kapsyen di Instagram Adidasdxb.

Difahamkan, restoran yang dibuka sejak 1978 itu sangat terkenal dengan hidangan asli Pakistan sehingga pernah dikunjungi beberapa selebriti terkenal seperti Snoop Dogg, One Republic dan sebagainya.

Gambar via GQ

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by adidas DXB (@adidasdxb)

Gambar: Khaleej Times

Menyentuh tentang rekaan, difahamkan kasut edisi khas Superstar Ravi merujuk kepada warisan pemilik Ravi Restaurant yang berasal dari Pakistan.

Selain itu, ia mempunyai pelapik stokin yang direka bersama peta lukisan tangan yang menandakan maksud Ravi, iaitu sebatang sungai di timur laut Pakistan.

Dalam pada itu, perkataan ‘Ravi’ dan tahun buatan pada bahagian tumit pula dicetak dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, selain ia dilengkapi set tali berwarna hijau.

Difahamkan, reka bentuknya menceritakan kisah mereka. Ia memberi penghormatan kepada tempat dan orang yang memainkan peranan penting dalam komuniti mereka.

Malah setiap pasang kasut akan dihantar (kepada pembeli) dengan kotak penuh bergaya edisi khas, serta dilengkapi tanda jenama jenis boleh tanggal yang memaparkan logo restoran.

Gambar via Instagram

Enam ‘wira’ dalam ‘Superstar Ravi’

Menariknya, pemilik restoran itu meletakkan nama enam jenis hidangan terkenal Ravi pada lidah kasut itu iaitu daging kambing Peshawari, biryani ayam, ayam tikka, goreng daal, Karak chai, dan lassi Punjabi.

Pewaris pemilik Ravi, Waheed Abdul Hameed berkata, keenam-enam hidangan kegemaran itu wajib ‘disediakan’ kepada pelanggan.

“Kami memilih enam hidangan itu kerana ia bukan sahaja menjadi kegemaran masyarakat, namun kami percaya ia wajib ada di restoran Ravi. Enam hidangan istimewa kami tampilkan pada kasut edisi terhad itu,” katanya.

Sementara itu, pewaris kedua Ravi, Waseem Abdul Hameed berkata, kisah restoran mereka seperti ‘diabadikan’ pada rekaan kasut edisi khas tersebut.

“Input pertama yang kami pilih ialah kasut Superstar, ikonik Adidas Silhouette sebagai kasut kolaborasi. Kami berkongsi visi dengan reka bentuk Adidas global untuk menghidupkan kasut itu.

“Kisah kami tersebar luas melalui kasut itu dan kami berasa sangat gembira dengan hasilnya,” katanya.

Difahamkan, kasut edisi khas itu boleh didapati bermula 23 Jun ini secara dalam talian atau mana-mana premis Adidas terpilih di sekitar Dubai.

Gambar via GQ

Sumber: Khaleej Times / GQ / Arab News

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?