Siakap Keli
kematian adibah noor
Gambar Via Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias/ Twitter

“Satu Tamparan Bagi Saya,” Ustaz Kazim Kagum Dengan Kesabaran Adibah Noor ‘Pendam’ Penyakit

Dua hari telah berlalu, kematian penyanyi dan pelakon Allahyarhamah Adibah Noor telah mengejutkan ramai orang terutamanya apabila mengetahui beliau menyembunyikan penyakit kanser ovari yang dihidapinya selama ini.

Bukan sahaja merahsiakannya daripada pengetahuan media dan peminat, Allahyarhamah dilaporkan turut tidak memberitahu bapanya mengenai penyakit yang ditanggungnya itu.

Berikutan itu, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias menerusi siaran langsung di Facebook semalam berkata Allahyarhamah merupakan orang yang hebat kerana mampu bersabar walaupun menderita disebabkan penyakit itu.

Menurutnya, ia juga menjadi tamparan hebat buatnya kerana ‘satu dunia’ sudah mengetahui penyakit yang dialami olehnya.

“Satu tamparan bagi saya secara peribadi sebab saya malu dengan Allah dan Almarhumah. Dia sakit seorang pun tidak tahu, ada yang tahu tapi dia beritahu jangan beritahu orang.

“Dia tak cerita pada orang dia sakit, tiba-tiba bila dia meninggal baru orang tahu kesakitan yang dia alami, sabarnya Almarhumah.

“Berbeza dengan saya pula, satu dunia orang tahu saya ini sakit, jadi saya ini belum lagi jatuh orang yang sabar macam Almarhumah.

“Adibah Noor dia sabar, dia senyap, dia tutup mulut, dia tak beritahu pada orang, MasyaAllah Subhanallah hebat,” katanya.

Beliau juga berkata ia menjadi pengajaran buatnya agar lebih bersabar bila sakit.

“Mudah-mudahan Allah tempatkan rohnya bersama dengan orang-orang yang beriman.

“Jadi ini pengajaran bagi saya iaitu sabarlah bila sakit,” katanya.

Terdahulu, Allahyarhamah Adibah Noor dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 7.30 malam di Hospital Gleaneagle pada Sabtu akibat kanser ovari tahap empat.

Jenazahnya telah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat serta selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ustaz Kazim sebelum ini pernah mendedahkan mengenai sakit dialaminya yang dipercayai akibat disihir.

Beliau telah berkongsi satu foto yang memaparkan keadaan lengannya dan memohon pertolongan dari orang ramai yang berkemampuan untuk membantunya.

Walaupun gambar tersebut hanyalah kiasan tetapi ia menjadi tular dan ramai yang menawarkan bantuan kepadanya.

https://www.facebook.com/ustazmohdkazim/videos/2200734956751444

Sumber: Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.