Tukang masak media sosial terkenal, Khairulaming bawa 50 orang staf Sambal Nyet bercuti di Genting Highland baru-baru ini.
Selain sibuk membuat video masakan sejak kira-kira empat tahun lalu, Khairulaming juga turut menjalankan perniagaan sambal hasil air tangannya sendiri yang dikenali sebagai Sambal Nyet.
Selama menjual sambal tersebut secara online hingga berjaya mencapai angka jualan puluhan ribu botol, caranya yang sangat berhemah dalam berniaga juga amat dipuji.
Tidak kurang juga, Khairulaming turut menjaga kebajikan semua pekerjanya yang menjadi tulang belakang di sebalik jenama Sambal Nyet, iaitu membawa mereka pergi bercuti.
Justeri, hari ini beliau memuat naik satu video di laman Twitter miliknya yang memaparkan trip percutian staf-staf Sambal Nyet ke Genting Highland selama empat hari tiga malam baru-baru ini.
“Recap company retreat untuk semua 50 orang staff Sambal Nyet kat Genting Highland selama 4 hari 3 malam. Alhamdulillah semua berjalan lancar and everyone was happy. InshaAllah nanti kita share lagi banyak rezeki dengan semua staff,” tulisnya di Twitter.
Recap company retreat untuk semua 50 orang staff Sambal Nyet kat Genting Highland selama 4 hari 3 malam. Alhamdulillah semua berjalan lancar and everyone was happy. InshaAllah nanti kita share lagi banyak rezeki dengan semua staff 💪🏻 pic.twitter.com/pISh2lbqvZ
— Khairulaming (@khairulaming) June 21, 2022
Kakitangannya diberi hotel lima bintang dan juga duit poket untuk membeli belah di Genting Premium Outlet. Selain itu, mereka turut dibawa ke Taman Hiburan Genting Skyworlds sebelum bergerak ke Kuala Lumpur.
Perkara itu telah mendapat reaksi positif daripada warganet dengan pelbagai komen-komen positif. Rata-rata mereka memujinya kerana berhati besar menjaga kebajikan pekerja.
“Sangat kagum dengan awak! Awak beri layan baik kepada semua kakitangan dengan baik. Macam ni la contoh majikan yang terbaik sebab bagi rewards dekat staff dengan bawak staff pergi berjalan & siap bagi duit poket lagi.
“Teruskan momentum macam ni ya KA. In Shaa Allah makin luas lagi rezeki syarikat Sambal Nyet,” kata warganet bernama wallawaniey.
“Dekat mana boleh apply kerja kosong ni? Saya degree aquaculture boleh bela ikan dekat akuarium rumah abang,” komen Melur.
Terdahulu, tukang masak popular media sosial ini pernah ‘pecah rekod’ apabila sebanyak 10,000 botol Sambal Nyet berjaya terjual hanya dalam masa 54 minit saja.
Kemunculan sambal buatan air tangannya itu pada waktu tersebut seakan-akan fenomena baharu. Boleh dikatakan ramai netizen khususnya pengikutnya terpaksa bersiap siaga untuk ‘memburu’ sambal tersebut sebaik saja ia dilancarkan.
Sumber: Twitter Khairulaming