Siakap Keli
Gambar Via Kosmo

Bapa, Anak Lelaki Ditahan Dipercayai Tembak Kucing Jiran

MELAKA, 21 Jun (Bernama) — Seorang bapa dan anak lelakinya ditahan kerana dipercayai menembak seekor kucing peliharaan jiran mereka bernama ‘Molly’ dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di rumahnya pada pukul 8 malam semalam manakala anak lelakinya berumur 27 tahun ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah 2.30 petang tadi.

“Punca kejadian dipercayai suspek berasa marah dengan kehadiran kucing berwarna putih bertompok hitam itu yang telah memasuki rumahnya dan menembak haiwan itu menggunakan senapang angin.

“Kejadian itu disedari tuannya yang berusia 44 tahun dan membawa Molly mendapatkan rawatan di klinik haiwan selepas mendapati kucingnya muntah darah selain belakang badannya terdapat luka kecil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata doktor yang merawat Molly telah memaklumkan kepada lelaki tersebut bahawa kucingnya telah ditembak dan terdapat geguli besi dalam badan haiwan itu serta tidak dapat diselamatkan.

Susulan itu Christopher berkata satu laporan dibuat oleh pemilik kucing itu dan diambil tindakan oleh Cawangan D9 IPD Melaka Tengah yang turut merampas satu laras senapang angin, beberapa alatan yang dipercayai alat ganti senjata itu serta 17 butir peluru penabur.

Katanya kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Sesyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Sumber: BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

@thesiakapkeli

Orang selangor mana? Mana yg betul2 sedap ni🤔 #GreatestMakanHits #foodreview #selangor @tourismselangor

♬ original sound - Siakap Keli
" "