Mesti ramai yang berminat, ini cara nak mohon jadi peserta dalam rancangan ‘Squid Game: The Challenge’, peluang bawa pulang RM20 juta.
Baru-baru ini Netflix dilaporkan bakal menerbitkan satu rancangan realiti TV yang diinspirasikan daripada drama bersiri popular Korea Selatan, Squid Game.
Menurut Netflix, rancangan yang bertajuk ‘Squid Game: The Challenge’ itu akan melibatkan pelbagai permainan sebenar dengan tawaran hadiah wang tunai sebanyak AS$4.56 juta (RM20 juta).
Sama seperti di dalam Squid Game, seramai 456 peserta dari seluruh dunia kini sedang dicari oleh pihak Netflix untuk menyertai rancangan tersebut.
Berikutan pengumuman itu, rata-rata netizen di seluruh dunia meluahkan keterujaan dan tidak sabar untuk menyertainya.
Bercakap mengenainya, seorang pengguna Facebook, Syed Ah Beng baru-baru ini telah berkongsi bahawa dia telah menghantar permohonan untuk menyertai rancangan itu.
“Ingat mohon untuk berlakon rupanya tak la weh, Netflix nak buat Squid Game versi sebenar, siapa yang menang dapat 4.6 juta kalau tak silap aku.
“Jadi seluruh dunia boleh masuk, tapi takde tembak-tembak la, siapa kalah kena balik je la.
“Kau tunggu aku ajak main congkak dengan berebut tiang,” katanya menerusi kiriman itu.
Syarat penyertaan
Dalam perkongsian tersebut, dia juga turut menyatakan beberapa syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh Netflix. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
- Berumur 21 tahun ke atas
- Fasih berbahasa Inggeris
- Berkelapangan selama sebulan pada tahun 2023 selama permainan dijalankan
- Mempunyai passport yang sah
- Bukan kakitangan Netflix
Syed juga turut berkongsikan pautan untuk membuat permohonan bagi menyertai rancangan itu.
Cara daftar
Menerusi pautan itu, orang ramai perlu mengesahkan maklumat syarat kelayakan terlebih dahulu. Sebelum ini Netflix telah memaklumkan syarat kelayakannya iaitu mestilah berumur 21 tahun ke atas, fasih berbahasa Inggeris, boleh ambil cuti selama sebulan pada tahun 2023, bukan kakitangan Netflix dan mempunyai pasport yang sah.
Selain mengisi maklumat diri, anda juga perlu memuat naik video selama satu minit dan menjelaskan kenapa anda ingin menyertai rancangan tersebut.
Tidak cuma itu, anda juga wajib memuat naik sekurang-kurangnya dua keping gambar terkini dan setelah itu tekan daftar.
Sementara itu, kiriman Syed telah mendapat perhatian ramai dan sehingga kini mendapat sebanyak 5.1 ribu perkongsian.
Menarik bukan? Jadi siapa-siapa yang berminat bolehlah cuba hantar permohonan, jika ada rezeki boleh bawa pulang RM20 juta!
Sumber: Syed Ah Beng, Netflix