AUSTRALIA – Pengalaman manis bulan madu yang diidamkan sepasang pengantin bertukar tragedi apabila pengantin perempuan dilapor maut dalam sebuah kemalangan melibatkan kereta golf yang dipandu oleh suaminya.
Menurut Daily Star, Marina Morgan, 29 telah menghembuskan nafas yang terakhir di tempat kejadian akibat kecederaan serius.
Difahamkan, kereta golf yang dinaiki pasangan itu telah terbalik ketika suaminya sedang melakukan pusingan-U.
Insiden tragis itu dikatakan berlaku sewaktu Marina Morgan dan suaminya, Robbie meraikan perkahwinan mereka di Pulau Hamilton, Australia.
Suaminya, berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan namun isterinya telah meninggal dunia secara tragis di tempat kejadian.
Ekoran insiden itu, beberapa pengunjung yang kebetulan berada di sekitar tempat kejadian dan merupakan pekerja bagi sektor kesihatan bergegas ke arah mereka untuk menghulurkan bantuan.
Teknik CPR terus dilakukan ke atas Morgan selama 35 minit namun tidak mendatangkan sebarang hasil.
Pasangan yang berasal dari Sydney itu hanya sempat mendirikan rumah tangga selama 10 hari sebelum pengantin perempuan itu meninggal dunia.
Inspektor Polis Queensland, Anthony Cowan menyifatkan kematian itu sebagai satu kemalangan tragis.
Beliau turut menyatakan bahawa tidak ada sebarang penyalahgunaan alkohol mahupun pemanduan secara berbahaya yang boleh mencetuskan berlakunya kemalangan tragis itu.
“Ia hanyalah satu kemalangan kereta golf yang tragis,” ujarnya.
“Mungkin cara pemanduan yang kurang mahir ketika membelok menjadi punca kenderaan itu telah bergolek ke tepi lalu menyebabkan wanita itu jatuh dan mengalami kecederaan yang serius sehingga meragut nyawa.”
“Nampaknya, tiada bukti penggunaan tali pinggang keledar ketika kemalangan itu berlaku, kita kembali kepada fatal five, namun sekarang bukan masanya untuk memikirkan apa yang sepatutnya mereka lakukan.”
Inspektor Cowan turut menyatakan bahawa, sewaktu pusingan-U itu dilakukan, bateri kenderaan berada dalam keadaan yang lemah.
Graeme McIntyre, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Ambulans Queensland, menambah bahawa Morgan telah diletakkan dalam kedudukan sisi bagi membuka saluran pernafasannya, namun dia telah mengalami serangan jantung apabila paramedik tiba.
Pulau Hamilton merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular di luar pantai timur Queensland dan kereta golf adalah pengangkutan utama bagi para pengunjung.
Sumber: Daily Star