Kerajaan masih lagi mengekalkan subsidi minyak masak dan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak yang telah disubsidi oleh kerajaan setiap bulan. Ia melebihi dari keperluan pengguna.
Difahamkan, subsidi ini ditanggung melalui kategori minyak kampit dengan harga RM2.50/gram.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media sebentar tadi, subsidi minyak masak ini sudah dilaksanakan sejak tahun 2007 lagi masih lagi dilaksanakan dan tidak ditarik balik.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kekeliruan selepas wujud dakwaan bahawa kerajaan telah menarik pemberian subsidi untuk semua jenis bungkusan minyak.
Bagi minyak masak berbotol pula yang sebelum ini telah dilaksanakan program subsidi sementara selama tiga bulan yang dilanjutkan sehingga hari ini dengan objektif untuk meringankan beban rakyat akan ditamatkan.
Keputusan itu dibuat kerana terdapatnya penyelewengan minyak masak tersebut.
“Melihat kepada penyelewangan yang berlaku, oleh itu kerajaan telah membuat keputusan iaitu tiada lagi keperluan untuk meneruskan subsidi minyak masak berbotol kerana ia tidak lagi menepati objektif untuk kita teruskan.
“Kerana tujuan kita perkenalkan adalah untuk meringankan beban rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19,” jelas beliau dalam sidang media tersebut.