Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mengesahkan insiden kematian bayi baru lahir (stillbirth) di sebuah hospital di Likas, Kota Kinabalu seperti yang tular baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin mengesahkan insiden itu menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JKN Sabah sebentar tadi.
“Pihak JKN mengesahkan insiden tersebut telah berlaku di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (Likas) pada 19 Jun 2022. Siasatan terperinci dan telus sedang dijalankan oleh pihak jabatan ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa ibu kepada bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan beliau sedang diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital pada masa ini.
“Pihak JKN Sabah mengambil perhatian serius mengenai kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima bagi tujuan menambah baik mutu perkhidmatan kami,” maklumnya.
Dalam pada itu, JKN Sabah turut merakamkan ucapan takziah kepada pihak keluarga bayi berkenaan atas tragedi yang menimpa.
Sebelum itu, tular satu hantaran di media sosial mengenai kes kematian bayi baru lahir atau disebut sebagai stillbirth yang dikatakan (ketika itu) berlaku di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas.
Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah