Siakap Keli

Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) RM800 Juta Bagi Menjamin Kesinambungan Aktiviti Pengeluaran Makanan

PUTRAJAYA, 22 JUN 2022 – Mesyuarat Kabinet hari ini telah mengambil maklum status bekalan makanan negara yang dibentangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi lapan (8) komoditi makanan utama iaitu daging ayam, daging lembu/ kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras. Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi dan bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan Jun 2022 serta disasarkan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa.

Mesyuarat Kabinet juga bersetuju dengan pelaksanaan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) di bawah Agrobank yang melibatkan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan. Program DPAKM ini akan menawarkan kemudahan pembiayaan yang khusus mengikut agihan pembiayaan sebagaimana berikut:

(i) RM300 juta bagi ternakan ayam;
(ii) RM200 juta bagi ternakan ruminan (lembu dan kambing);
(iii) RM100 juta bagi tanaman sayur-sayuran;
(iv) RM100 juta bagi usahawan mikro;
(v) RM50 juta bagi usahawan mikro baharu; dan
(vi) RM50 juta bagi usahawan muda.

Had maksimum pembiayaan bagi ternakan ayam, ternakan ruminan dan tanaman sayur sayuran ditetapkan sehingga RM5 juta. Manakala, had maksimum pembiayaan bagi usahawan mikro, usahawan mikro baharu dan usahawan muda adalah sehingga RM500 ribu. Tempoh pembiayaan untuk DPAKM ini adalah sehingga 8.5 tahun termasuk 6 bulan moratorium yang akan ditawarkan kepada semua golongan sasar.

MAFI juga giat dalam mempermudah pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu. Sehingga 21 Jun 2022, sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM262 juta telah diluluskan oleh MAFI.

Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan-tindakan susulan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan selain memperincikan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang merentasi semua subsektor agromakanan.

Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan negara dalam memastikan kelangsungan bekalan dan ketersediaan makanan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.