Satu kes dipercayai kecuaian ketika pembedahan berlaku apabila kakitangan perubatan dilapor terpenggal kepala bayi dan memasukkannya semula ke dalam rahim seorang wanita, lapor NDTV.
Difahamkan, mangsa iaitu seorang ibu berusia 32 tahun terpaksa mengalami detik hitam itu di sebuah pusat kesihatan luar bandar di wilayah Sindh, Pakistan baru-baru ini.
Menurut NDTV, setelah berdepan insiden tersebut, mangsa dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan di Mithi, bagaimanapun tiada fasiliti perubatan yang mencukupi bagi menangani kes itu.
Mangsa akhirnya dibawa ke Unit Ginekologi Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan Liaquat (LUMHS) di Jamshoro oleh keluarganya untuk proses mengeluarkan bayi.
Menurut Ketua Unit Ginekologi LUMHS, Profeser Raheel Sikander, “Wanita itu pertama kali pergi ke pusat kesihatan luar bandar tersebut.
“Pada ketika itu, tiada pakar sakit wanita dan kakitangan yang berpengalaman menyebabkan beliau trauma selepas kejadian itu,” katanya.
Dalam masa sama, kakitangan pusat kesihatan luar bandar yang memenggal kepala bayi itu dilapor telah meninggalkan mangsa sewaktu kejadian, lapor Raheel.
Tambahnya lagi, kepala bayi yang terperangkap di dalam rahim itu telah pun pecah.
Mereka terpaksa membelah perut mangsa untuk mengeluarkan kepala bayi berkenaan bagi menyelamatkan nyawanya.
Kes kecuaian itu mendorong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Sindh, Dr. Juman Bahoto mengarahkan siasatan berasingan dijalankan terhadap kes itu.
Jawatankuasa yang ditugaskan bakal menyiasat tentang perkara sebenar yang berlaku, terutamanya isu ketiadaan kakitangan profesional wanita di pusat kesihatan luar bandar itu.
Selain itu, pihak tersebut turut meneliti laporan daripada wanita berkenaan yang masih lagi terbaring di atas katil ketika kenyataan itu diambil.
“Beberapa kakitangan itu juga dilihat mengambil gambarnya di wad ginekologi menggunakan telefon dan menghantar di kumpulan WhatsApp,” kata Juman.
Sumber: NDTV