Isu ancaman di rantau ASEAN bukanlah sesuatu yang baru. Antaranya adalah penceroboh di sempadan negara sering menjadi topik perbualan rakyat sesebuah negara. Malaysia nampaknya turut terpalit dengan isu ini di mana satu tindakan tegas dan wajar perlu diambil untuk menanganinya.
Mungkin sudah ramai yang tahu, isu mengenai ancaman sebenarnya turut diketengahkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM). Di sini, menteri pertahanan bagi setiap negara ASEAN akan duduk semeja untuk menyuarakan pandangan mengenai isu yang berbangkit.
Tanggal 22 Jun lalu, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-16 telah diadakan bertempat di Phnom Penh, Kemboja. Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai isu khususnya mengenai isu pertahanan serantau.
Delegasi Malaysia telah diwakili dan diketuai oleh Menteri Kanan Pertahanan dalam mesyuarat yang berlangsung selama sehari itu. Melalui kunjungan menteri ke Kemboja untuk mesyuarat berkenaan, terdapat beberapa perkara yang boleh dikaitkan dengan Malaysia.
Penglibatan Malaysia Dalam ADMM Untuk Membincangkan Isu Serantau
Keterlibatan delegasi dari Malaysia adalah amat penting untuk menyuarakan berkenaan isu pertahanan serantau dan antarabangsa serta secara amnya Malaysia bersama dengan Menteri-Menteri Pertahanan negara ASEAN yang lain.
Kukuhkan Semangat Kebersamaan ASEAN
Bukan itu sahaja, platform tersebut juga turut dimanfaatkan bagi mengukuhkan lagi semangat kebersamaan ASEAN khususnya dalam konteks kerjasama pertahanan di rantau Asia Tenggara.
Selain daripada itu, Kementerian Pertahanan juga turut mengambil kesempatan untuk mengadakan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-China dan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun bersampingan dengan ADMM.
Kedua-dua mesyuarat tersebut diadakan bagi memfokuskan kepada usaha mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau ASEAN-China dan ASEAN-Jepun.
Usai selesai sahaja mesyuarat tersebut, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia serta Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN berkesempatan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.
Malaysia Kekal Dengan Pendirian Tidak Iktiraf SAC Dari Myanmar
Laporan terdahulu mengatakan kerajaan Myanmar yang ada pada masa ini telah diambil alih oleh State Administration Council (SAC) Myanmar susulan daripada penggulingan yang dilakukan oleh pihak tentera negara itu.
Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Pertahanan Malaysia memaklumkan bahawa mesyuarat yang melibatkan perwakilan daripada SAC dari Myanmar pada ADMM kali ini bukan bermakna bahawa Malaysia mengiktiraf SAC sebagai kerajaan Myanmar yang sah.
Ini kerana, Malaysia menekankan bahawa pihak SAC perlu segera melaksanakan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) terlebih dahulu bagi mencari penyelesaian kemelut politik yang terjadi di Myanmar masa kini.
Malaysia Dan Kemboja Setuju Laksana Mengangkat Keterlibatan Tentera Wanita Di ASEAN Dalam Operasi Pengaman
Tak hanya itu, Menteri Kanan Pertahanan juga turut sempat mengadakan mesyuarat dua hala bersama dengan TYT Samdech Pichey Sena Tea Banh bagi membincangkan berkenaan kerjasama dalam melaksanakan operasi pengaman di seluruh dunia. Perbincangan tersebut turut memfokuskan berkenaan keterlibatan tentera wanita di rantau ASEAN.
Hasil daripada perbincangan itu, Kemboja telah bersetuju untuk menghantar tentera pengaman wanitanya ke Pusat Pengaman Malaysia (Malaysia Peacekeeping Centre) yang terletak di Port Dickson bagi menjalani latihan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam melaksanakan operasi pengaman kelak.