Kejohanan akuatik dunia yang berlangsung di Budapest pada Rabu lalu menyaksikan satu detik cemas yang dialami oleh seorang perenang artistik dari pasukan Amerika Syarikat apabila dia dipercayai telah pengsan dalam air.
Memetik laporan NBC News, Anita Alvarez tidak sedarkan diri dan terapung ke dasar kolam selepas menyelesaikan rutin bebas solonya.
Melihat keadaan tersebut, jurulatihnya, Andrea Fuentes segera melompat ke dalam kolam bagi menyelamatkan perenang berusia 25 tahun itu.
Menerusi beberapa gambar yang tular di media sosial, Fuentes yang masih lengkap berpakaian kemeja-T dan seluar pendek dilihat berenang menuju ke arah Alvarez sebelum menarik perenang itu ke atas permukaan air.

Dia kemudian mengheret Alvarez ke tepi kolam dengan bantuan seorang lelaki yang tidak dikenali.
Menurut laman web Sukan Olimpik, perenang itu telah diberi rawatan perubatan sebelum diusung keluar dari lokasi kejohanan tersebut.
Sementara itu, Fuentes menerusi satu kenyataan yang dikongsi di laman Instagram berkata bahawa Alvarez berada dalam keadaan yang baik selepas insiden ‘ngeri’ itu.
Berada dalam keadaan baik
“Doktor memeriksa semua vital dan ia berada dalam keadaan normal. Kadar denyutan jantung, oksigen, paras gula, tekanan darah dan lain-lain semuanya baik-baik saja.
“Kejadian ini boleh berlaku dalam sukan berketahanan tinggi yang lain seperti maraton, berbasikal dan merentas desa, kita semua telah melihat sesetengah atlet yang tidak sampai ke garisan penamat.
“Tiada bezanya dengan sukan kami, hanya dalam kolam, kami berusaha semaksimal mungkin dan kadang kala menemui ‘titik penghabisannya’.

“Anita berada dalam keadaan yang baik dan doktor juga mengatakan dia baik-baik saja,” katanya.
Dalam pada itu, Fuentes juga berkata menerusi temubual dengan akhbar Sepanyol Marca bahawa dia melompat ke dalam air kerana tiada penyelamat dilihat pada ketika itu.
“Saya berasa sedikit takut kerana dia tidak bernafas, tetapi kini dia baik-baik saja,” katanya.
Menurut NBC News, Alvarez menduduki tempat ketujuh dalam acara akhir individu tersebut.
Dia diberikan rehat selama sehari pada Khamis dan akan membuat keputusan dengan doktor sama ada boleh berenang dalam perlawanan akhir pasukan yang akan datang.
BACA: Perenang Dilaporkan Maut Dipercayai Dibaham Jerung Besar
Sumber: NBC News