Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mengeluarkan satu laporan yang menunjukkan sebanyak 46,132 kes membabitkan rakyat Malaysia diisytiharkan muflis bagi tempoh 2018 hingga Mei 2022. Daripada jumlah berkenaan, 19,334 kes muflis disebabkan pinjaman peribadi.
Berdasarkan laporan tersebut juga, Selangor muncul sebagai negeri yang mencatat kes kebankrapan yang paling tinggi iaitu sebanyak 11,443 kes muflis. Di tangga kedua adalah Wilayah Persekutuan yang merekodkan sebanyan 5,032 kes muflis. Mengisi posisi tiga teratas adalah Johor Bahru dengan 4,277 kes muflis.
Difahamkan juga, kes kebankrapan itu lebih tertumpu kepada individu yang berumur sekitar 35 hingga 44 tahun iaitu sebanyak 37.31 peratus atau 17,213 kes. Kumpulan umur yang seterusnya pula adalah mereka yang berumur diantara 45 hingga 54 tahun dengan 25.86 peratus atau 11,928 kes. Di tangga ketiga adalah mereka yang terdiri daripada kumpulan umur 25 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 21.49 peratus atau 9,913 kes.
Jika diukur mengikut jantina, lelaki mencatatkan peratus kes muflis lebih tinggi berbanding wanita iaitu pada 72.95 peratus atau 33,653 kes.
Menurut statistik, jika mengikut bangsa pula, Melayu telah mencatatkan kes muflis yang tertinggi iaitu 26, 911 dan diikuti oleh Cina sebanyak 11, 237, India (4,061), lain-lain (3,875) dan bukan warganegara sebanyak 48.
Dalam hal ini, terdapat banyak faktor yang mendorong seseorang itu diisytiharkan sebagai muflis. Pinjaman peribadi yang mencatat sejumlah 19,334 kes atau 41.91 menjadi sebab kebangkrapan tertinggi bagi tempoh berkenaan.
Selain itu, sewa beli kenderaan pula mencatat sebanyak 6,843 kes atau 14.83 peratus. Manakala, pinjaman perniagaan pula melibatkan sebanyak 6,242 kes atau 13.53 peratus.
Sebab kebangkrapan yang paling rendah berpunca daripada biasiswa/pinjaman pelajaran iaitu sebanyak 73 kes atau 0.16 peratus.
Rata-rata individu yang diisytiharkan muflis adalah mereka yang bekerja dalam sektor swasta, berniaga, sektor awam dan diikuti dengan lain-lain lagi.
Sejajar dengan itu, setiap pihak harus mengambil cakna untuk sentiasa mengorak langkah untuk mengelakkan faktor atau akibat yang membawa kepada kebankrapan atau muflis. Dengan itu, wajarlah untuk setiap individu arif dengan mengetahui cara perbelanjaan yang betul bagi memperbaiki semula status kewangan masing-masing.
BACA: Tiga Tahun ‘Menunggu’ Sebab Covid, Wanita Jepun Menangis Sebak Dapat Makan Durian Malaysia
Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia