Setiap tanggal 25 Jun, seluruh dunia akan menyambut Hari Vitiligo Sedunia, khusus bagi meraikan dan solidariti bersama-sama dengan individu yang menghidap penyakit vitiligo. Ia juga sebagai satu inisiatif yang bertujuan untuk membina kesedaran global tentang bahaya penyakit tersebut.
Menurut perkongsian dari Kementerian Kesihatan Malaysia, vitiligo/sopak adalah penyakit kulit yang dihidapi oleh 0.5 hingga 2 peratus penduduk dunia. Penyakit itu merupakan masalah pigmentasi kulit yang menyebabkan timbulnya tompok-tompok putih di bahagian badan dengan sebaran secara simetri pada kulit manusia.
25 Jun setiap tahun merupakan hari vitiligo sedunia.
Vitiligo/sopak adalah penyakit pigmentasi kulit yg menyebabkan tompok-tompok putih di bahagian badan dgn sebaran secara simetri pada kulit manusia.
Bersama meraikan kepelbagaian, setiap daripada anda adalah terlalu istimewa. pic.twitter.com/WhyD86zHUK
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) June 25, 2022
Satu per dua (1/2) pesakit menghidapi penyakit ini sebelum berumur 20 tahun dan satu pertiga (1/3) pesakit mempunyai sejarah keluarga yang positif. Vitiligo dikaitkan dengan penyakit autoimun seperti diabetes mellitus, tiroid, pernicious anemia dan penyakit Addison.
Penyakit ini boleh bermula pada mana-mana umur pesakit, namun kebiasaannya ia bermula pada usia sebelum 30 tahun.
25 Jun dipilih kerana…
Mungkin anda yang tertanya-tanya mengapakah tarikh 25 Jun diangkat sebagai Hari Vitiligo Sedunia?
Tarikh ini dipilih untuk mengingati lagenda pop, Michael Jackson, salah seorang pengidap vitiligo, yang meninggal dunia pada tarikh tersebut.
Pada mereka yang mengidap vitiligo, ia akan menyebabkan kehilangan warna kulit secara bertompok. Malah, ianya akan berubah menjadi besar dari semasa ke semasa.
Keadaan ini boleh menjejaskan kulit pada mana-mana bahagian di tubuh badan seseorang itu serta boleh menjejaskan rambut dan bahagian dalam mulut.
Kebiasaannya, warna rambut dan kulit manusia ditentukan oleh melanin. Namun, vitiligo terjadi apabila sel-sel yang menghasilkan melanin mati atau berhenti berfungsi.
Lebih ketara pada individu berkulit
Vitiligo boleh menjejaskan semua jenis kulit, tetapi ia mungkin kelihatan lebih ketara pada individu yang memiliki kulit berwarna coklat atau hitam. Walaupun ia tidak mengancam nyawa seseorang atau berjangkit kepada orang lain, namun vitiligo boleh memberi tekanan kepada mereka yang menghidapinya kerana boleh mengurangkan keyakinan tentang penampilan diri untuk tampil di khalayak ramai.
Penyakit ini tidak dapat pulih secara sepenuhnya. Sebaliknya, rawatan yang diberikan bertujuan untuk menghasilkan semula pigmentasi dan menstabilkan proses kehilangan pigmentasi.

Rawatan-rawatan yang diberi dibahagikan kepada rawatan umum, rawatan topikal, fototerapi dan rawatan pembedahan.
Simptom
Antara simptom-simptom bagi penghidap vitiligo ini adalah kehilangan warna kulit yang bertompok-tompok, biasanya pada awal ianya muncul di tangan, muka, dan kawasan terbuka sekitar badan dan alat kelamin.
Selain itu, pemutihan pramatang atau rambut beruban pada kulit kepala, bulu mata, kening atau janggut. Seterusnya pula, kehilangan warna pada tisu yang melapisi bahagian dalam mulut dan hidung (selaput lendir).
Bagaimanapun, ianya bergantung pada jenis vitiligo yang seseorang itu alami. Misalnya sama ada vitiligo yang dihidapi itu berlaku hampir di seluruh permukaan kulit, banyak bahagian pada tubuh badan, hanya sebelah atau bahagian badan, satu atau beberapa bahagian badan atau muka dan tangan sahaja.
Namun, sukar untuk meramalkan bagaimana penyakit ini akan berkembang. Kadang-kadang tompok itu akan berhenti terbentuk tanpa sebarang rawatan.
Dalam kebanyakkan kes, kehilangan pigmen merebak dan akhirnya melibatkan kebanyakan kawasan kulit. Kadang kala, kulit akan mendapat warnanya semula.
Punca
Vitiligo berlaku apabila sel penghasil pigmen (melanosit) mati atau berhenti menghasilkan melanin. Tompok-tompok tersebut akan menjadi lebih cerah atau putih.
Tidak jelas apa yang menyebabkan sel pigmen ini gagal atau mati. Ia mungkin berkaitan dengan gangguan sistem imun, asbab keturunan dan peristiwa pencetus, seperti tekanan, selaran matahari yang teruk atau trauma kulit, seperti bersentuhan dengan bahan kimia.
Komplikasi
Orang yang mempunyai vitiligo ini mungkin akan mengalami peningkatan risiko daripada segi gangguan sosial atau psikologi, selaran matahari, masalah mata serta gangguan pendengaran.
Pada mereka yang menghidap vitiligo ini, mereka lebih cenderung untuk berasa malu, rasa rendah diri dan kurang berkeyakinan apabila berjumpa dengan khalayak. Ini kerana mereka merasai seperti diperhatikan hanya kerana keadaan kulit kelihatan sedemikian. Dengan itu, mereka akan mengalami gangguan emosi dan sebilangannya turut kemurungan.
Tanggapan sedemikian, harus dihapuskan kerana ianya merupakan satu pemikiran yang memberi impak negatif kepada diri. Jika ada antara kita semua yang tidak terjejas dgn virtiligo ini , dinasihatkan agar tidak menghina dan memandang rendah golongan seperti itu . Malah, kita wajar memberikan mereka lebih sokongan moral.
BACA: Lepas Bertahun Setia Pakai, Chris Evans Ucap Selamat Tinggal Kepada iPhone 6s Miliknya
Sumber: Mayoclinic , UMass Chan Medical , Kementerian Kesihatan Malaysia