Bangkai sebuah kapal pemusnah milik Tentera Laut AS yang tenggelam semasa Perang Dunia II dilaporkan telah ditemui dalam kedalaman 7,000m dari aras laut di Filipina, sekaligus menjadikannya sebagai kapal karam paling dalam di dunia.
Menurut Independent, dua pasukan peneroka dari syarikat teknologi bawah laut iaitu Caladan Oceanic dan EYOS Expedition telah menemui bangkai kapal itu semasa menjalani siri pencarian kapal yang karam semasa pertempuran Perang Dunia Kedua pada bulan ini.
Penyelam telah menemui bangkai kapal USS Destroyer Escort Samuel B Roberts (DE-413), juga dikenali sebagai Sammy B, pada kedalaman sekitar 6,895 meter dari aras laut Filipina pada 22 Jun lalu.
Kapal itu ditemui dalam keadaan terbelah dua dan bersarang di cerun dasar laut. Sammy B telah gugur berhampiran pulau tengah Samar pada 25 Oktober 1944.
“Kepahlawanan kapten dan anak kapalnya merupakan sebuah lagenda dalam Tentera Laut, dan ia adalah satu penghormatan besar untuk menemui tempat persemadian terakhirnya,” ujar Victor Vescovo.
“Saya fikir ia dapat membantu menutup serba sedikit kisah kapal yang telah mengorbankan mereka yang hilang.”
Sebelum ini, bangkai kapal paling dalam yang pernah ditemui adalah pada tahun lalu di kedalaman 6,469 meter iaitu USS Johnston.
Sumber: Independent
Baca: Kementerian Pertahanan Ke Kemboja Bincang Isu Keselamatan Serantau, Ini Kaitan Dengan Malaysia