Siakap Keli
hilangkan usb
Gambar: Google

Gara-Gara Mabuk, Lelaki Jepun Dilaporkan Hilangkan USB Mengandungi Data Peribadi Penduduk Bandar

TOKYO – Gara-gara mabuk, seorang pekerja dilaporkan telah menghilangkan pemacu USB yang mempunyai kira-kira setengah juta maklumat peribadi penduduk sebuah bandar di Jepun.

Menurut media tempatan, pekerja lelaki yang tidak dinamakan itu telah meletakkan pemacu USB tersebut di dalam begnya sebelum keluar minum bersama rakan sekerja di bandar Amagasaki, barat laut Osaka.

Dia dilaporkan telah menghabiskan masa selama beberapa jam untuk minum di sebuah restoran tempatan sebelum akhirnya mabuk dan tertidur di tepi jalan.

Ketika lelaki itu tersedar, dia mendapati bahawa beg dan pemacu USB yang dibawa bersamanya telah hilang.

Media tempatan melaporkan, lelaki tersebut dikatakan berusia 40-an dan bekerja untuk sebuah syarikat yang ditugaskan bagi menghantar bayaran pelepasan kepada isi-isi rumah yang dikecualikan untuk membayar cukai.

Lelaki itu dilaporkan telah memindahkan maklumat peribadi kesemua penduduk bandar ke dalam USB tersebut pada petang Selasa sebelum keluar ‘bergembira’ bersama rakan-rakannya.

Pegawai di bandar itu berkata, pemacu USB tersebut mengandungi nama, tarikh lahir dan alamat semua penduduk bandar. Ia juga termasuklah maklumat yang lebih sensitif iaitu butiran cukai, nombor akaun bank dan maklumat tentang keluarga yang menerima bantuan kerajaan.

Namun begitu, lelaki terbabit bernasib baik kerana pegawai bandar tersebut memaklumkan bahawa data yang terkandung pada pemacu USB berkenaan telah disulitkan dan dikunci dengan kata laluan.

Beliau juga menambah bahawa tidak ada tanda-tanda terdapat individu cuba untuk mengakses maklumat tersebut setakat ini.

Pun begitu, insiden memalukan itu telah membuatkan pegawai, datuk bandar serta beberapa pemimpin lain terpaksa membuat permohonan maaf kepada kesemua penduduk bandar berkenaan.

“Kami amat kesal kerana kami telah menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pentadbiran di bandar ini,” kata seorang pegawai bandar di Amagasaki pada sidang akhbar lalu.

Sumber: bbc.com

Baca: Kementerian Pertahanan Ke Kemboja Bincang Isu Keselamatan Serantau, Ini Kaitan Dengan Malaysia

Nurlizah Khazani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.