Mungkin ramai tidak perasan, kulit bayi sebenarnya berisiko untuk ruam kalau guna tisu basah yang ada sejenis bahan ini.
Umumnya, kulit bayi jauh lebih nipis dan sensitif berbanding kulit orang dewasa. Oleh itu, penggunaan tisu basah yang tidak tepat dipercayai mungkin boleh menyebabkan berlakunya ruam.
Biasanya ibu ayah akan membawa satu set tisu basah di dalam beg keperluan bayi jika keluar ke mana-mana. Ia akan digunakan ketika menukar lampin bayi (bersihkan kemaluan).
Namun betulkah penggunaan tisu basah yang dibeli di pasaran boleh digunakan pada semua permukaan tubuh bayi termasuk wajah? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Hello Doktor.
Tisu Basah Di Pasaran Punca Ruam Pada Si Manja? Mama, Jom Buat Tisu DIY!

Tisu basah baby merupakan antara item wajib ada bagi kebanyakan ibu bapa pada masa kini. Ia biasanya menjadi pilihan apabila di luar rumah. Tetapi selamat ke untuk menggunakan tisu ini pada bahagian tubuh seperti muka bayi?
Untuk mengetahui jawapannya, teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tisu basah baby
Tisu bayi adalah tisu lembap yang direka untuk membersihkan kulit bayi dengan berkesan semasa menukar lampin.
Biasanya tisu ini akan menggunakan bahan sensitif untuk mengelakkan kerengsaan pada kulit si manja dan sekurang-kurangnya mengandungi satu bahan pelembap dan menenangkan.
Disebabkan itulah, tisu basah bayi ini sesuai digunakan untuk membersihkan bahagian sulit si kecil terutamanya selepas kencing dan berak.
Bahan dalam tisu basah baby
Tisu lembap ini biasanya menggabungkan air, minyak, pembersih dan pengawet.
Terdapat juga tisu yang mempunyai formula lebih ringkas, contohnya hanya menggunakan air dan pengawet ringan. Sesetengah tisu basah juga mungkin mempunyai formulasi lebih kompleks yang menggunakan pelbagai jenis minyak, agen pembersih dan pengawet.
Anda akan menggunakan tisu ini beberapa kali sehari, jadi amat penting untuk memberi perhatian terhadap bahan yang digunakan.

Berikut adalah bahan yang paling biasa digunakan dalam tisu bayi:
Air, bahan utama dalam tisu basah bayi
Tidak menghairankan, kebanyakan tisu bayi mengandungi sekurang-kurangnya 95% air – biasanya ditapis, ditulenkan atau disuling.
Minyak dan pelembap
Minyak membantu menanggalkan kotoran pada bahagian sulit si kecil, mengelakkan tisu mudah kering dan memberikan pelembap nipis untuk kulit.
Antara jenis minyak yang sering digunakan adalah minyak zaitun, minyak sayuran, minyak kelapa, minyak kastor atau minyak bijian seperti daripada bunga matahari, tomato atau kranberi.
Bahan pembersih dalam tisu basah baby
Dalam kebanyakan tisu lembap, bahan ini adalah seperti setitik sabun dan sudah tentu bahan di dalam sabun itu yang harus diperhatikan.
Bahan pengawet
Pengawet digunakan untuk membantu memastikan tisu basah ini sentiasa segar dan menghalang pertumbuhan bakteria atau kulat.
Perhatikan bahan pengawet keras yang harus dielakkan seperti phenoxyethanol, benzyl alcohol, sodium benzoate atau methylchloroisothiazolinone.
Bahan pewangi
Oleh sebab wangian merupakan punca yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit bayi yang sensitif, jadi sebaiknya pilihlah tisu basah yang tidak dicampur bahan ini. Kebanyakan tisu bayi sensitif tidak mengandungi sebarang pewangi.
Sumber: Hello Doktor