Sekurang-kurangnya 13 orang maut dan lebih 40 cedera dalam kejadian serangan peluru berpandu Rusia di sebuah pusat beli-belah di bandar Kremenchuk, Ukraine, semalam.
Memetik laporan Daily Mail, dua peluru berpandu X-22 jarak jauh yang dilepaskan daripada pengebom Tu-22M3 itu terbang dari lapangan terbang Shaykovka di wilayah Kaluga Rusia.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata dalam siaran Telegram bahawa jumlah mangsa ‘tidak dapat dibayangkan’.
Difahamkan, lebih 1,000 orang awam berada di dalam pusat beli-belah tersebut ketika serangan itu berlaku.
“Serangan Rusia ke atas pusat beli-belah di Kremenchuk hari ini adalah salah satu tindakan pengganas paling kurang ajar dalam Eropah,” katanya.
Sementara itu, imej dari tempat kejadian menunjukkan kepulan asap hitam gergasi dari lokasi itu ketika kru kecemasan bergegas masuk.

Manakala, video yang tersebar di media sosial pula menyaksikan orang ramai yang panik cuba untuk melarikan diri ketika kompleks itu meletus dalam kebakaran.
Ketua pentadbiran wilayah Poltava, Dmytro Lunin berkata serangan peluru berpandu itu adalah satu lagi jenayah ketenteraan oleh Rusia.
Jenayah terhadap kemanusiaan
“Jenayah terhadap kemanusiaan, ini adalah tindakan keganasan yang jelas dan sinis terhadap orang awam yang aman.
“Penyelamat dan anggota polis sedang bertugas di lokasi, jumlah mangsa mustahil untuk dikira setakat ini,” katanya.
Beliau berkata jumlah kematian telah meningkat daripada 10 kepada sekurang-kurangnya 13 orang.
Selain itu, Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson telah mengecam ‘kekejaman dan kebiadaban’ yang dilakukan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika sidang kemuncak G7.

“Serangan mengerikan ini telah menunjukkan sekali lagi kekejaman dan kebiadaban yang akan menyebabkan pemimpin negara itu akan ‘tenggelam’.
“Sekali lagi sokongan kami adalah kepada keluarga mangsa yang tidak bersalah di Ukraine.
“Putin mesti sedar bahawa tingkah lakunya tidak akan memberi kesan apa-apa selain mengukuhkan keazaman setiap negara G7 lain untuk berdiri di sisi Ukraine selama mana yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, krisis di Ukraine telah meningkatkan kos sara hidup dan memburukkan lagi ‘pergolakan’ berkaitan harga dan menyebabkan kekurangan makanan akibat bekalan bijirin dihalang daripada dieksport keluar dari pelabuhan negara itu.
BACA: Enggan Tunduk Dengan Desakan, Rusia Mahu Tamatkan ‘Order Dunia’ Dikuasai Amerika
Sumber: Daily Mail