Sebuah ‘hotel terbang’ berkuasa nuklear gergasi kini dalam peringkat rancangan dan ia dijangka dapat membawa sehingga 5,000 penumpang yang ingin merasai pengalaman berada di atas langit.
Lengkap dengan gimnasium dan kolam renang, ‘hotel terbang’ yang dikenali sebagai Sky Cruise itu akan dipandu oleh AI.
Memetik laporan New York Post, Sky Cruise dirancang untuk berada di udara selama berbulan-bulan pada satu-satu masa dan direka untuk tidak mendarat.

Ada 20 enjin
Rekaan futuristik dengan konsep kapal terbang dan hotel itu dipercayai mempunyai 20 enjin yang dikuasakan oleh gabungan nuklear.
Pencipta mockup pesawat itu, Hashem Alghaili berkata ‘pelayaran’ di langit yang berkuasa nuklear itu boleh menjadi salah satu sektor pengangkutan pada masa hadapan.
Ditanya berapa ramai yang diperlukan untuk menerbangkan pesawat gergasi itu, dia berkata bahawa tiada sesiapa yang akan menerbangkannya.
“Dengan teknologi ini pun anda masih mahukan juruterbang? Saya percaya ia akan menjadi autonomi sepenuhnya,” katanya.
Pun begitu, Sky Cruise itu juga memerlukan ramai kakitangan untuk menyambut penumpang yang datang.
Menerusi video CGI yang memaparkan pesawat tersebut, ia juga akan dilengkapi dengan restoran, pusat membeli-belah yang besar, gym, teater dan kolam renang.
Pun begitu, tidak semua orang menerima idea penciptaan ‘hotel terbang’ itu.
Bahkan ada menganggap konsep Sky Cruise sebagai ‘Titanic baharu’ kerana keadaan reka bentuknya.

Pesawat itu juga dikatakan akan mempunyai masalah untuk berlepas dan jauh dari aerodinamik.
Ia juga dibimbangi akan memusnahkan sesebuah bandar jika terhempas kerana ia dikuasakan oleh reaktor nuklear.
Tidak cuma itu, kos yang besar turut menjadi kebimbangan. Ada yang meramalkan bahawa untuk berkunjung ke hotel tersebut, ia akan menelan kos yang banyak.
“Walaupun konsep ini menarik dan ia mampu dibina dengan teknologi semasa, ia akan menjadi sangat mahal dan tidak syak lagi hanya orang kaya sahaja yang boleh menempah hotel ini,” kata seorang netizen.
Dalam pada itu, walaupun ramai yang menaruh harapan untuk melihatnya namun Sky Cruise nampaknya masih jauh untuk ‘digapai’.
BACA JUGA: Kenali Hotel Paling Murah Di Dunia, Hanya RM1 Untuk Satu Malam
Sumber: New York Post