Siakap Keli
ditemui mati di dalam bilik
Gambar Via Kosmo

Misteri Bau Busuk Terungkai, Pelajar Universiti Ditemui Mati Terlentang Dalam Bilik

Seorang pelajar lelaki di sebuah universiti sekitar daerah Serdang dilaporkan telah ditemui mati di dalam bilik yang berkunci, semalam.

Memetik laporan Kosmo, penemuan mayat pelajar itu telah merungkai misteri bau busuk di situ sejak beberapa hari yang lalu.

Pihak Polis Daerah Serdang difahamkan telah menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 7.45 petang semalam.

Kejadian itu dilaporkan membabitkan seorang pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi yang berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata siasatan awal mendapati bahawa mayat pelajar tersebut telah ditemui di sebuah bilik di tingkat lima dalam keadaan terlentang di tepi katil.

“Mangsa yang ditemui tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang itu difahamkan tinggal di bilik berkenaan seorang diri.

“Pintu juga dalam keadaan berkunci dan tingkap bertutup rapat. Pemeriksaan mendapati barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit milik mangsa masih berada dalam bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, seorang saksi memberitahu bahawa dia telah pergi ke bilik mangsa pada pukul 4.30 petang kerana telah lama tidak berjumpa dan mendapati bilik mangsa berbau busuk.

“Saksi telah memberitahu felo pelajar sebelum beberapa kakitangan universiti terbabit membuka pintu bilik mangsa menggunakan kunci pendua.

“Sebaik pintu dibuka, mangsa ditemui terbaring dan mereka menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kali terakhir mangsa ditemui adalah pada dua hari lalu, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan,” ujarnya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat pelajar terbabit telah dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Sumber: Kosmo

Sofea

There's always another side to every story