Siakap Keli
R. Kelly dihukum penjara 30 tahun
Gambar: The Guardian/ The Washington Post

Bintang R&B Terkenal, R. Kelly Dihukum Penjara 30 Tahun, Didapati Bersalah Lakukan Jenayah Seks

Bintang R&B Terkenal, R. Kelly Dihukum Penjara 30 Tahun, Didapati Bersalah Lakukan Jenayah Seks

Bintang R&B terkenal, R. Kelly dilaporkan telah dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun selepas didapati bersalah melakukan jenayah seks terhadap wanita dan kanak-kanak.

Memetik laporan Unilad, hukuman telah dijatuhkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di New York semalam.

Selepas beberapa kali perbicaraannya tertangguh sebelum ini, dia akhirnya menghadapi hukuman minimum 10 tahun dan maksimum penjara seumur hidup.

Hakim Ann Donnelly berkata bahawa penyanyi itu telah menggunakan ‘orang suruhan’ untuk ‘memerangkap’ mangsa yang kebanyakannya terdiri dari peminatnya.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, seramai tujuh orang mangsa telah memberi keterangan berkaitan jenayah yang dilakukan oleh Kelly.

“Dengan setiap penambahan mangsa baru, anda terus ‘rancak’ melakukan kejahatan, angkuh, tidak berperikemanusiaan dan tidak sedar diri.

“Anda seorang pendera, anda tidak tahu malu, anda menjijikkan,” kata seorang saksi.

Dalam pada itu, walaupun Kelly mengaku tidak bersalah tetapi pada 27 September 2021, juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn mendapati  bahawa dia bersalah atas sembilan jenayah seks, termasuk pemerkosaan dan pemerdagangan seks.

Difahamkan beberapa orang mangsa dipercayai telah memberi keterangan secara terperinci semasa perbicaraan tanpa menggunakan nama sebenar mereka untuk melindungi privasi dan keselamatan.

Mereka mendakwa bahawa Kelly mendorong mereka melakukan tingkah laku songsang dan sadis ketika mereka di bawah umur.

Sementara itu, pasukan peguam penyanyi itu meminta agar dia menerima hukuman yang lebih ringan kerana dia mengalami trauma yang melibatkan penderaan seksual kanak-kanak yang teruk, kemiskinan dan keganasan.

Tuduhan salah laku seksualnya telah tersebar sejak zaman kegemilangannya pada tahun 90-an tetapi mula mendapat perhatian dan dibongkar secara mendalam menerusi dokumentari Surviving R. Kelly.

Sumber: Unilad

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%

Sofea

There's always another side to every story