Siakap Keli
Sumber: Google

Dulu Jadi ‘Rumah’ Harimau Malaya , Kini Terbiar Usang, Ini Sejarah Stadium Shah Alam

Sejarah Stadium Shah Alam yang pernah menjadi ‘rumah’ skuad Harimau Malaya

Jika mendengar nama ‘Stadium Shah Alam’, memang tidak disangkal lagi ianya adalah sebuah stadium yang cukup gah di Malaysia. Lebih-lebih lagi, buat peminat tegar bola sepak negara terutamanya penyokong skuad “The Red Giants”.

Sebaik sahaja ada desas-desus mengatakan Stadium Shah Alam hendak dirobohkan, pelbagai reaksi dan komentar netizen dilemparkan di media sosial. Ada yang tampil menyuarakan ketidakpuasan hati dan menolak sekeras-kerasnya cadangan tersebut. Manakala, ada juga berpendapat ia cadangan yang baik berbanding membiarkan stadium ikonik berkenaan terus rosak dan ‘menyakitkan’ mata sesiapa yang melihatnya.

Pasti melayang di fikiran anda mengenai mengapakah sesetengah pihak mengambil serius terhadap isu ini? Hal ini timbul tatkala, tidak ramai mendalami sejarah pembinaan stadium tersebut sehinggalah bagaimana keadaannya semasa kini.

Ekoran daripada itu, mari mendalami kisah bagaimana terbentuknya sebuah stadium yang penuh dengan pencapaian dari skuad Selangor mahupun Harimau Malaya terhadap Stadium Shah Alam ini.

Sejarah Pembinaan Stadium Shah Alam

Tanggal 1994, bertempatkan di Seksyen 13, Shah Alam, Sultan Selangor ketika itu iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dengan secara rasminya telah merasmikan Stadium Shah Alam. Stadium tersebut telah dibina bermula pada tahun 1991 dan dibuka secara rasmi pada bulan Julai tahun 1994.

Dengan menelan kos bernilai RM 460 Juta, Stadium Shah Alam sekaligus diangkat menjadi stadium terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Tambahan pula, stadium itu mempunyai keluasan 155, 000 meter serta mampu memuatkan kapasiti sebanyak 80, 000 penonton. Tidak lupa juga, stadium ini mempunyai kira-kira 5,500 tempat letak kereta di sekeliling stadium. Mengambil kira faktor keluasan tersebut menjadikan ianya stadium kedua terbesar di Malaysia selepas Stadium Nasional Bukit Jalil.

Difahamkan, stadium ini merupakan sebahagian daripada Kompleks Sukan Shah Alam yang turut merangkumi Stadium Melawati. Sering kali ditafsirkan bahawa Stadium Shah Alam itu digunakan hanya untuk perlawanan bola sepak. Namun begitu, ianya juga turut mempunyai kemudahan-kemudahan lain terutamanya untuk aktiviti olahraga. Disebabkan itu, Stadium Shah Alam turut dianggap sebagai stadium serbaguna.

Secara dasarnya, stadium ini memiliki enam tingkat di dalamnya. Struktur rangkanya merupakan gerbang berdiri bebas terpanjang di dunia. Stadium Shah Alam turut mempunyai identiti nasional tersendiri iaitu bentuknya yang direka dengan mengambil inspirasi daripada bentuk penyu. Secara tidak langsung, stadium berkenaan menjadi salah satu mercu tanda utama di Shah Alam disebabkan saiz dan seni binanya yang mengagumkan.

Sumber: Google

Suatu ketika dahulu, Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menduduki sebahagian daripada stadium itu sebagai bangunan fakultinya sebelum kampus satelit Puncak Perdana universiti itu disiapkan.

Pada tahun 2011, sebanyak RM 3.4 Juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Selangor bagi mengubahsuai stadium dengan menaik taraf beberapa komponen utama stadium iaitu sistem lampu, membaiki bumbung, rumput baru untuk padang serta menggantikan tempat duduk yang telah rosak, menambah baik sistem bunyi, bilik persalinan bagi pemain-pemain, mengecat semula beberapa bahagian di stadium, membaiki tandas yang telah rosak serta kemudahan-kemudahan yang lain.

Seterusnya pada tahun 2014 pula, sebanyak RM 2.4 Juta telah dibelanjakan untuk kerja-kerja menaik taraf fasa kedua, termasuk menggantikan lebih 500 jubin bumbung, menggantikan rumput di bahagian padang yang rosak, menaik taraf bilik persalinan dan tandas untuk kegunaan dan keselesaan orang ramai dan dua set penjana kuasa bagi stadium itu. Difahamkan, kos tersebut ditanggung oleh kerajaan negeri.

Sejak Disember 2015, beberapa kali Stadium Shah Alam telah ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Stadium Shah Alam sekali lagi menjalani pengubahsuaian pada tahun 2016 yang telah siap dan beroperasi sepenuhnya untuk perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) antara Selangor F.C. dan Kedah.

Sejajar dengan itu, pada 19 Mac lalu, proses menggantikan padang dengan ‘rumput lembu’ termasuk menggantikan tanah di bawah rumput telah menelan perbelanjaan kira-kira RM200,000. Sistem pencahayaan juga telah dinaik taraf daripada 1,200 lux kepada 2,000 lux agar pengunjung dapat menonton perlawanan bola sepak dengan lebih jelas jika perlawanan berlangsung pada waktu malam.

Pada awal 2020, rumah bagi skuad ‘Red Giants’ ,Selangor F.C. iaitu Stadium Shah Alam telah ditutup sekali lagi untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan semula besar-besaran, yang dirancang untuk siap pada 2022.

Sumber: Mstar

Keadaan Terkini

Jika dilihat dari jauh stadium ini kelihatan gah namun jika dipandang dari jarak yang dekat, keadaan bumbung stadium kelihatan amat usang dan semakin dimamah usia dek hujan serta panas terik cuaca negara kita.

Ketika fenomena banjir yang amat teruk melanda pada hujung Disember yang lalu di Selangor, ianya sememangnya menjejaskan kualiti padang di stadium berkenaan dan dalam masa yang sama situasi Covid-19 ketika itu merencatkan proses membaik pulih stadium.

Para peminat skuad ‘The Red Giants’ juga menyeru pihak yang harus memikul tanggungjawab untuk mempercepatkan proses naik taraf stadium ini dan mengembalikan kembali auranya yang pernah menemui zaman kegemilangannya apabila stadium keramat ini digunakan untuk Piala Asia 2007.

Perlawanan

Stadium Shah Alam ini semakin dimamah usia, memang tidak dinafikan terdapat banyak perlawanan besar yang pernah diadakan di sana. Pada 29 Julai 2008, perlawanan persahabatan antara pasukan pilihan Malaysia dan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea telah diadakan dan mendapat sambutan yang luar biasa dari peminat-peminat tegar kedua pasukan.

Keputusan memihak kepada The Blues yang berjaya menumpaskan pasukan kebangsaan 2-0, hasil jaringan dari penyerang berbisa Nicolas Anelka dan pertahanan kiri mereka, Ashley Cole. Sebuah lagi pasukan gergasi dari Liga Perdana Inggeris (EPL) , Arsenal turut menentang pasukan pilihan Malaysia pada tanggal 13 Julai 2011 yang menjelajah Asia bagi persiapan mereka sebelum liga bermula.

Kendatipun Stadium Shah Alam ini telah banyak menghadapi suka dan duka namun tidak boleh disangkal lagi ianya sebuah stadium yang banyak dengan memori. Tidak kira pahit atau manis, jasa stadium ini terutamanya kepada negara amatlah besar dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

BACA: Cecah Puluhan Juta, Ini 7 Filem Malaysia Dengan Kutipan Tertinggi Dalam Sejarah

BACA: Budak 4 Tahun Maut, Mak Ayah Ziarah Kematian Saudara Terlupa Tinggal Anak Dalam Kereta

Sumber: Peristiwa, Dewan Selangor, Utusan Malaysia, Goal

Nurul Nazihah