Gadis 19 Tahun Dilapor Maut, Digilis Bapa Sendiri
NORFOLK, ENGLAND – Seorang gadis berusia 19 tahun dilaporkan maut akibat digilis oleh bapanya sendiri ketika cuba menghalang bapanya daripada menyerang teman lelakinya pada 23 Januari lalu.
Suspek yang berusia 44 tahun dari West Winch, Norfolk dikatakan berada dalam keadaan marah ketika merempuh dan menggilis mangsa yang merupakan anaknya sendiri.
Remaja itu tinggal di sebuah rumah bersama ibu dan adik-beradiknya. Manakala suspek pula dilaporkan terasing daripada keluarga dan tinggal di alamat yang berasingan.
Pendakwa raya Mahkamah Diraja Norwich, Andrew Jackson menjelaskan bahawa suspek telah bertindak mengundurkan kenderaannya sebelum merempuh anak perempuannya sebanyak dua kali.
“Selepas merempuh mangsa sehingga terjatuh, suspek mengundur kenderaannya sebelum berhenti seketika lalu sekali lagi merempuh dan menggilisnya,” katanya.
Kemudian, beliau menambah lagi dengan berkata, “tindakan itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian. Pemeriksaan lanjut ke atas mayatnya mendapati terdapat kesan lebam, luka dan kecederaan parah pada bahagian kepala, badan, lengan serta kaki.”
Hasil bedah siasat juga merekodkan bahawa dia meninggal dunia akibat kecederaan traumatik yang ketara di bahagian dada dan perutnya. Namun, suspek menafikan tuduhan membunuh terhadap mangsa.
Kejadian ini membuatkan isteri suspek telah melaporkannya kepada pihak polis pada April 2021 kerana suspek bertindak menyerangnya di rumah.
Pada malam kematian anak perempuannya, suspek telah melanggar syarat jaminan dengan pergi ke kedai tempat isterinya bekerja.
Pada waktu itu, suspek membuat panggilan telefon berulang kali kepada mangsa sebelum memandu ke rumahnya.
Mahkamah diberitahu bahawa, suspek telah bertengkar dengan anak perempuannya dan teman lelaki anaknya. Suspek kemudian mula memandu kereta Mercedes hitamnya ‘dengan laju’, kata pendakwa raya.
Selepas melanggar anak perempuannya, seorang saksi telah menjerit “anda telah membunuhnya, anda telah membunuhnya”.
Selepas merempuh mangsa, suspek didakwa membawa mayat anaknya ke dalam keretanya sebelum bertindak meninggalkan kawasan berkenaan.
Dia juga telah menelefon isterinya dan memberitahu bahawa anak mereka telah mati. Dia ketika itu ingin membawa mangsa kepada isterinya.
Sehingga kini, perbicaraan kes masih sedang berlangsung.
Sumber: metro.co.uk