Siakap Keli
produk kosmetik dikesan racun berjadual
Gambar: Kementerian Kesihatan Malaysia

KKM Gesa Orang Awam Elak Guna Empat Produk Kosmetik Ini, Dikesan Ada Racun Berjadual

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan empat jenis produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, empat produk tersebut ialah Biela Beauty Glowing Night (mengandungi merkuri); BL Skincare Day Cream 1 (hydroquinone dan tretinoin); BL Skincare Day Cream 2 (merkuri) dan BL Skincare Night Cream (merkuri).

“Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh memudaratkan kesihatan, selain boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, tambah Noor Hisham, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin pula adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Jelasnya, sekiranya kedua-dua bahan itu digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan, pelbagai kesan-kesan sampingan yang tidak diingini berisiko akan berlaku kepada penggunanya.

“Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif,  boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“(Manakala) penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan (pula) boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Hisham menjelaskan, mana-mana penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikut.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?