Kelab bola sepak yang bersaing dalam saingan La Liga di Sepanyol, Villarreal mengumumkan sebuah akademi bola sepak miliknya bakal dibuka di Kuala Lumpur (KL), menurut laman web rasmi Villareal CF.
Akademi itu akan menjadi yang pertama di Asia Tenggara dan dijangka mula beroperasi pada Ogos tahun ini. Apabila beroperasi kelak, akademik berkenaan mampu menenmpatkan lebih 400 pemain akademik berserta dengan 20 kakitangan jurulatih.
Menurut laman web itu, akademi bola sepak Villarreal yang akan dibuka di KL itu menyasarkan untuk membuka peluang kepada pelatih muda bermula dari umur tiga tahun hingga 21 tahun.
Kedatangan Villarreal CF di Malaysia itu akan menawarkan peluang besar untuk pemain bola sepak dari Kuala Lumpur dan seluruh negara sekaligus membuka pintu kepada bakat-bakat muda negara untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Selain pemain berpeluang berlatih di bawah metodologi kelab bola sepak terkenal Eropah itu, mereka juga berpeluang untuk berkunjung ke Sepanyol atau menjalani perlawanan persahabatan menentang Villarreal CF Academy.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Villarreal Malaysia, Massimo Giannelli, mereka mempunyai gambaran jelas mengenai akademi itu dan teruja untuk memulakan program ini.
“Kami menyasarkan untuk menubuhkan Akademi Villarreal Malaysia ini sebagai program pembangunan bola sepak terbaik di Malaysia. Misi kami adalah untuk menjadi inklusif semampu kami dan menawarkan program ini kepada semua orang serta menanamkan dalam diri mereka kecintaan terhadap permainan bola sepak.
“Saya ingin mencari kerjasama dengan sebuah kelab yang mempunyai strategi yang jelas dan kukuh dalam pembangunan belia. Saya sebelum ini juga telah mengadakan perbualan dengan beberapa kelab Eropah lain namun sejurus sahaja berbincang dengan Villarreal, kami sedari telah menemui rakan kongsi yang sesuai untuk peringkat pembangunan yang seterusnya,” kata Massimo.
Sementara itu, Pengarah Urusan di Akademi Villarreal Malaysia, Jonathan Abishegam percaya bahawa akademi itu bakal menyediakan peluang besar untuk permata bola sepak di seluruh negara.
“Kami mahu membawa kejayaan Villarreal di Sepanyol dan di Eropah ke Malaysia juga. Kami percaya bahawa metodologi yang kami sesuaikan dan pengetahuan yang akan kami pelajari dari Villarreal akan digabungkan dengan kemudahan yang canggih serta jurulatih yang berpengalaman akan mencipta peluang untuk pemain kami merasai standard tertinggi.
“Program ini juga bertujuan untuk berkongsi ilmu bola sepak bersama orang ramai. Kami mahu memberi peluang yang sama rata kepada kanak-kanak lelaki mahupun perempuan dari semua latar belakang seramai yang kami boleh.
“Sama ada ia untuk memberi peluang kepada para pemain bermain dengan cara yang menyeronokkan melalui program bercorak rekreasi atau bakat muda yang bercita-cita untuk bermain bola di Eropah, peluang ini akan disediakan di Akademi Villarreal Malaysia,” jelas Jonathan.
Untuk makluman , selain Akademi Villarreal Malaysia, Villarreal CF juga mempunyai pelbagai akademi di seluruh dunia yang merupakan sebahagian daripada projek Akademi Villarreal.
Kelab itu juga telah bekerja sama dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Bolivia, Israel, Australia, Korea Selatan dan Malaysia.
Sumber: Laman Web Rasmi Villarreal CF