Siakap Keli
cadangan kerja empat hari seminggu
Gambar hiasan via Bernama

Cadangan Kerja Empat Hari Seminggu Adalah Di Peringkat Kajian Sahaja – JPA

Cadangan waktu bekerja empat hari dalam seminggu seperti yang diuar-uarkan di media sebelum ini hanyalah di peringkat penilitian dan kajian sahaja.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa terbuka mendapatkan input menyeluruh daripada pihak-pihak berkepentingan bagi mengkaji kebolehlaksanaan cadangan tersebut secara empirikal.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan cadangan tersebut perlu melihat kepada beberapa faktor semasa yang mempengaruhi, termasuklah kesesuaian dan keberkesanannya.

“Walaupun beberapa buah negara kini sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu sebagai percubaan, namun JPA berpandangan bahawa pendekatan ini hendaklah dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.

“JPA juga amat cakna akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Mohd Shafiq, pelbagai aspek daripada segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat juga berada dalam kajian JPA.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta beberapa pihak lain pernah melontarkan pandangan berhubungan cadangan waktu bekerja empat hari seminggu.

Pandangan serta cadangan tersebut yang umumnya mahu mencontohi negara luar yang melaksanakan polisi kerja sedemikian disiarkan melalui saluran media baru-baru ini hingga mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam.

Sumber: Kenyataan media JPA

Adnin Razak

Pantang jumpa kopi tepi jalan.