Siakap Keli
adi putra terima bayaran tinggi mat kilau
Gambar: Utusan Malaysia, IMDB via Google

Adi Putra Mengaku Terima Bayaran Tinggi Untuk Mat Kilau, Tapi…

Pelakon utama Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra mengakui dirinya terima bayaran yang tinggi dalam filem inspirasi sejarah karya Syamsul Yusof itu.

Bagaimanapun di sebalik itu, Adi yang memegang watak Mat Kilau lebih selesa untuk ‘kunci mulut’ jika dipersoal tentang jumlah bayaran yang diterimanya, lapor Utusan Malaysia.

“Ya memang benar (bayaran mahal). Sebab ia memerlukan kudrat dan segala-galanya. Tetapi bajet ini bukan satu ukuran kalau nak hasil yang lebih baik, tentulah sudah semestinya memerlukan peruntukan yang lebih.

“Ia bagi mendapatkan satu kualiti yang lebih mantap dan padu. Tentang berapa jumlahnya? Tak apalah, biar Allah saja yang tahu,” kata Adi, memetik Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai isu jumlah cukai hiburan yang menjadi buah mulut orang awam akhir-akhir ini dan katanya, penerbit filem lebih layak ‘buka mulut’ tentangnya.

“Tinggi atau rendah kutipan cukai itu, ia dari sudut perniagaan dan saya tak boleh sentuh. Berbalik kepada empunya. Tapi kalau nak cakap pasal hal ini, rasanya lebih baik kita naratif dari sudut positif.

“Ia supaya penyatuan kita ini akan mara bila kita bersama-sama ke arah kejayaan. Kritikan akan jadi isu dan itu adalah lumrah sebab kalau tak ada yang menyuarakan, mungkin tidak ada yang sedia maklum.

“Tapi itulah yang kita ingin­kan. Keprihatinan agar ada berlaku perubahan pada masa hadapan. Saya faham bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Adi yang pernah membintangi KL Gangster (2011) melalui watak antagonis Jai itu turut teruja jika penghasilan sekuel Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dapat direalisasikan.

“Kalaulah ada, Alhamdulillah. Saya serahkan kepada penerbit. Saya ini cuma barisan pelakon saja. Kita sama-sama doakan andai benar ada se­kuel,” tambahnya.

Adi berkata demikian kepada pemberita Utusan Malaysia ketika menghadiri majlis tayangan amal filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan anjuran Biro Media Sosial Pu­teri UMNO Malaysia dan Kretip Malaya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)  semalam.

Untuk rekod, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menjadi filem tempatan yang mencatat kutipan tinggi terpantas di Malaysia dengan meraih kira-kira RM47 juta setakat 11 hari ditayangkan.

Sumber: Utusan Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?