COVID-19: Kes Varian Omicron Sublineage BA.5 Sudah Ada Di Malaysia, Mungkin Merebak Luas – KJ
Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media sebentar tadi memaklumkan bahawa kes varian Omicron Sublineage BA.5 sudahpun berada di Malaysia dan berkemungkinan sudah merebak luas.
”Di Malaysia, KKM ingin memaklumkan bahawa secara kumulatif sehingga 30 Jun dan kita sedang kemaskini data terkini, sudahpun terdapat 13 kes sublineage Omicron yang sedang dipantau rapi.
”Enam kes BA.2.12.1, lima kes BA.5 dan dua kes BA.5.2. Setakat ini tidak ada kes BA.4. Bermaksud BA.5 sudahpun ada di Malaysia dan kes-kes ini adalah kes jujukan genom yang dibuat ke atas kes-kes positif antara Mei dan Jun.
”Jadi kemungkinan besar, BA.5 sudah merebak dengan luas di Malaysia,” katanya.
Kemungkinan besar subvarian Omicron BA.5 sudah merebak dengan luas di Malaysia, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Katanya, ia punyai ciri untuk jangkiti mereka yang sudah dijangkiti Omicron. #AWANInews pic.twitter.com/Bv3Ez6zHvA
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) July 8, 2022
Jika dilihat kepada epidemiologi di negara-negara lain, BA.5 menjadi sublineage utama yang memberi kesan kepada peningkatan kes diperingkat global, katanya lagi.
Malah, KKM juga turut menjangkakan bahawa BA.5 akan menyebabkan jumlah kes harian dalam negara meningkat.
”Setakat ini kita melihat juga daripada maklumat yang telah kita terima, BA.5 bukan hanya versi virus COVID-19 yang paling mudah merebak setakat ini tetapi ianya juga mempunyai ciri untuk menjangkiti mereka yang sudahpun dijangkiti dengan Omicron,” katanya lagi.
Ini bermakna, sekiranya seseorang itu pernah dijangkiti varian asal Omicron, BA.1 dan BA.2, mereka berpotensi untuk dijangkiti semula dengan varian BA.5.
”Sebab itulah, kita dengar banyak kes orang yang mengalami jangkitan semula dalam tempoh yang singkat. Situasi seperti ini juga mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital yang kita sedang melihat di negara-negara jiran kita,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, menerusi laporan BERNAMA, beliau turut mengingatkan pemakaian pelitup muka di dalam presmis masih diwajibkan dan KKM mungkin akan menguatkuasakan Akta 342 jika kes masih tinggi.
Setakat ini, negara menyaksikan peningkatan sebanyak 31 peratus kes COVID-19 di seluruh negara dari 3 hingga 7 Julai.
COVID: Kes varian Omicron sublineage BA.5 sudah berada di Malaysia, mungkin merebak luas – @Khairykj pic.twitter.com/BTUzkxbvUE
— BERNAMA (@bernamadotcom) July 8, 2022
Sumber: Astro Awani, BERNAMA