Siakap Keli
Gambar: Lofi Girl

Isu Claim Hak Cipta Lofi: Ini Jawapan FMC Music, Dakwa Akaun Digodam

Isu Claim Hak Cipta Lofi: Syarikat Rakaman Malaysia Tampil Tepis Dakwaan Buat ‘Report’ Ke YouTube

Saluran terkenal di YouTube, Lofi Girl mencuri tumpuan sejak semalam selepas kandungan penstriman muzik secara langsung miliknya telah dihentikan siaran oleh pihak YouTube kerana didakwa melanggar hak cipta.

Terbaru, tinjauan SK mendapati bahawa siaran penstriman tersebut telah kembali semula di YouTube dan setakat ini mendapat tontonan sebanyak 25,464.

Menerusi ciapan di Twitter, Lofi Girl memuat naik satu tangkap layar yang memaparkan notifikasi daripada YouTube mengenai video yang bertajuk lofi hip hop radio-beats to relax/study to, yang didakwa telah melanggar undang-undang hak cipta.

Tangkap layar itu juga memperlihatkan bahawa laporan mengenai pelanggaran itu didakwa telah dibuat oleh sebuah syarikat rakaman dari Malaysia, FMC Music Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Lofi Girl telah memohon kepada pihak YouTube untuk menyelidik semula mengenai perkara tersebut.

“Radio lofi telah dialih keluar kerana bantahan hak cipta palsu, semoga @YouTubeCreator @Youtube akan menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya.

 

Tidak lama kemudian, akaun @TeamYouTube memberikan respon dan memohon maaf kepada Lofi Girl.

Dalam masa yang sama, ia mengesahkan bahawa laporan mengenai hak cipta itu adalah satu penyalahgunaan serta akan menamatkan akaun pihak syarikat rakaman terbabit.

“Kami telah menyelesaikan bantahan dan akan memulihkan semula video anda, kadang kala ia boleh mengambil masa 24 jam hingga 48 jam untuk semuanya kembali seperti biasa,” katanya.

 

Berikutan itu juga, pihak FMC Music pada baru-baru ini telah menepis dakwaan tersebut.

Wakil FMC Music, Encik Ho menjelaskan bahawa isu tersebut disyaki berlaku kerana akaun mereka telah digodam.

Memetik laporan Gempak, pihak FMC juga baru menyedari mengenai perkara tersebut apabila mereka masuk semula ke pejabat hari ini selepas bercuti.

“Kita tak masuk pejabat sebab cuti dan baru hari ini kita dapat tahu mengenai perkara berkenaan. Kita dah buat laporan dekat YouTube dan hantar semua dokumen yang diperlukan.

“Kami syak penggodam yang godam akaun kami dan buat laporan hak cipta itu. FMC hanya buat muzik tempatan dan kami tidak buat sebarang muzik antarabangsa.

“Sekarang ini, kami tidak boleh buat apa. Kami hanya tunggu keputusan daripada YouTube untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Gempak.

Untuk pengetahuan, Lofi Girl mempunyai sebanyak 10.8 juta subscribers dan video tersebut telah distrim sejak dua tahun yang lalu, dengan 600 juta tontonan.

Sumber: Gempak, Lofi Girl

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.