Sungai Petani, 13 Julai 2022 – 28 stokis dan pengedar MiraGas Gas Petroleum Cecair (LPG) dari negeri-negeri Utara, iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah berkumpul untuk konvensyen keselamatan dan kesihatan hari ini.
Anjuran NGC Energy Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Konvensyen Pengedar Gas Petroleum Cecair 2022 telah berjaya dijalankan di Sungai Petani, Kedah.
Ia telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Malaysia YBrs Ir. Mohd Rosdee bin Yaacob, dengan wakil JKKP dari Putrajaya dan wakil JKKP negeri yang turut hadir mengambil bahagian.
“Kerjasama antara NGC Energy dan JKKP ini adalah inisiatif bersama untuk memastikan standard keselamatan dan kesihatan di pusat pengedaran LPG diutamakan dan dikekalkan pada standard tertinggi yang mungkin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NGC Energy Julianna Kamaruddin.
“Memandangkan ciri-ciri perniagaan dan produk yang dikendalikan oleh pusat-pusat ini, penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan adalah yang paling penting dan tidak boleh diabaikan.”
Bagi tujuan ini, konvensyen itu dilaksanakan khas untuk melatih dan melengkapkan pengedar gas LPG mengenai perundangan dan keperluan berkaitan penyimpanan LPG Malaysia dan untuk berkongsi pengalaman dan maklumat tentang risiko dan bahaya yang terlibat. Ia juga selaras dengan misi dan visi JKKP untuk memastikan kesihatan dan kebajikan tempat kerja dan masyarakat sekitar.
“Kolaborasi NGC dan JKKP ini juga merupakan inisiatif ideal yang menghubungkan agensi Kerajaan dan syarikat swasta dalam usaha mempromosikan kesedaran keselamatan awam,” kata Julianna.
Walaupun ini adalah salah satu acara pertama yang dianjurkan selepas COVID-19, NGC Energy telah mengekalkan hubungan kerja yang rapat dengan JKKP, menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif untuk pengedar MiraGasnya, termasuk audit kendiri dan laporan aktiviti industri. JKKP juga telah membuat lawatan teknikal ke fasiliti pengisian LPG NGC di Pasir Gudang dan Port Dickson.
“Tahun ini juga istimewa kerana NGC Energy menyambut ulang tahunnya yang ke-10. Berganding bahu dengan pembekal MiraGas kami, terutamanya mereka yang telah bersama kami sejak penubuhan NGC Energy, kami gembira dapat berkhidmat dalam pengedaran LPG.
“Kami tetap teguh dalam komitmen kami terhadap keselamatan dan kesihatan, bukan sahaja untuk premis dan pengedar kami tetapi juga untuk masyarakat secara keseluruhannya.”
Sementara itu Ir. Mohd Rosdee berkata, acara ini bertepatan dengan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang disambut pada minggu kedua bulan Julai di seluruh negara setiap tahun.
“Konvensyen ini dianjurkan khusus untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengedar tong gas. Kawasan penyimpanan produk ini dikategorikan sebagai Pepasangan Bahaya Besar (MHI), atau Pepasangan Bahaya Bukan Besar (NMHI) – bergantung pada kuantiti maksimum yang disimpan. Oleh itu, adalah penting bagi pemilik premis memahami sepenuhnya dan mematuhi peraturan.”
Beliau menambah bahawa terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran sedemikian dan yang lebih penting, pematuhan kepada garis panduan dan peraturan yang berkaitan.
Berkongsi beberapa statistik JKKP, Ir. Mohd Rosdee berkata amat mengalakkan apabila kecederaan pekerjaan mencatatkan penurunan sebanyak 34% antara 2020 hingga 2021, dengan nisbah masing-masing menurun daripada 2.18 kepada 1.43 bagi setiap 1,000 pekerja. Melalui usaha berterusan JKKP, terdapat penurunan sebanyak 58% dalam kejadian sedemikian dari 2011 hingga 2021.
Di samping itu, JKKP bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berjaya meningkatkan kesedaran majikan, pekerja dan pengamal perubatan untuk melaporkan kes-kes penyakit dan keracunan di tempat kerja dengan peningkatan pelaporan penyakit pekerjaan daripada 1,198 kes pada 2011 kepada 9,822 pada 2021.