Siakap Keli
Sri Lanka Isytihar Darurat
Gambar via CNA

Presiden Lari Ke Maldives, Sri Lanka Isytihar Darurat Seluruh Negara

Sri Lanka dilapor telah mengisytiharkan darurat seluruh negara selepas Presidennya, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Maldives selepas berdepan dengan protes anti-kerajaan yang berterusan. Protes itu menyaksikan ribuan warga negara tersebut turun ke jalan bagi menyatakan kemarahan di atas keenganannya meletakkan jawatan di tengah-tengah situasi ekonomi negara itu yang semakin meruncing.

Memetik AFP, Rajapaksa pada minggu lepas berjanji untuk melepaskan jawatannya pada Rabu, selepas meninggalkan kediaman rasminya di Colombo, beberapa jam sebelum kawasan kediaman tersebut diserbu dan diambil alih oleh puluhan ribu penunjuk perasaan.

Sebagai presiden, Rajapaksa dilapor mempunyai beberapa kelebihan antaranya mempunyai imuniti daripada ditahan. Media tempatan menyebut bahawa beliau dilaporkan mahu meninggalkan negara tersebut terlebih dahulu sebelum mengisytiharkan peletakkan jawatannya bagi mengelakkan dirinya ditahan.

Menurut laporan Jabatan Imigresen, Rajakpaksa dipercayai melarikan diri bersama isteri dan dua orang pengawal peribadi, menjadikan kesemua empat individu yang meninggalkan negara tersebut dengan menggunakan sebuah pesawat tentera.

Beberapa jam selepas pesawat berkenaan meninggalkan Sri Lanka dan tanpa sebarang kenyataan rasmi berhubung peletakkan jawatannya, ribuan penunjuk perasaan menyerbu Pejabat Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, yang turut dinamakan sebagai penggantinya oleh Rajapaksa, sekiranya dia tiada di negara tersebut.

Penunjuk perasaan dilapor melaungkan slogan yang mendesak kedua-dua individu berkenaan melepaskan jawatan masing-masing.

Polis kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang kumpulan penunjuk perasaan berkenaan daripada mengambil alih bangunan kerajaan tersebut. Malah, perintah darurat di seluruh negara turut disytiharkan, menurut jurucakap Perdana Menteri, Dinouk Colombage.

Perintah darurat seluruh negara untuk tempoh yang tidak dinyatakan itu merangkumi seluruh wilayah barat, termasuk Colombo, menurut kenyataan pegawai kanan polis Sri Lanka.

Selepas dinamakan sebagai penggantinya oleh Rajapaksa, Wickremesinghe dijangka akan mengisi kekosongan jawatan Presiden Sri Lanka. Begitupun, beliau menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan berkenaan sekiranya kosensus berjaya dicapai untuk membentuk sebuah kerajaan campuran.

Terdahulu, Sri Lanka telah disahkan mengalami bankrup dengan krisis ekonomi yang teruk berlaku ketika ini juga dijangka akan berterusan sehingga tahun depan, maklum Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe Selasa lalu.

Negara dengan populasi 22 juta itu terpaksa melalui tempoh-tempoh sukar selama berbulan-bulan lamanya seperti masalah inflasi dan bekalan tenaga terpaksa dipotong selepas kerajaan dilaporkan telah kehabisan matawang asing untuk mengimport barang keperluan penting.

Difahamkan, antara punca kepada masalah tersebut adalah pengurusan ekonomi negara itu sendiri yang dipercayai sangat lemah.

Wickremesinghe berkata, negara itu yang dulunya berada dalam keadaan makmur akan mengalami kemelesetan ekonomi yang tak pernah terjadi sebelum ini, akan terjadi pada tahun ini termasuk kekurangan sumber makanan, bahan api dan ubat-ubatan secara berterusan.

BACA: Sri Lanka Mengaku Sudah Bankrup, 80 % Rakyat Terpaksa “Skip” Makan Kerana Harga Barang Melonjak

BACA JUGA: Dihalang Masuk Ke Dubai, Presiden Sri Lanka Dilapor ‘Larikan Diri’ Ke Maldives

Sumber: AFP, NDTV

Faiz Mustafa