Siakap Keli
Komet PANSTARRS
Gambar via MYSA

Panjang Ekornya Sekitar 800,000 KM, Komet PANSTARSS Berjaya Dirakam Observatori Negara Di Langkawi

Imej komet C/2017 K2 juga dikenali juga sebagai Komet PANSTARRS berjaya dirakam oleh Observatori Negara Langkawi melalui sistem teleskop pada awal pagi 26 Jun 2022 lalu. 

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), ahli astronomi telah menemui Komet PANSTARRS dengan menggunakan Panoramic Survey Telescope dan juga Rapid Response System (Pan-STARRS) di Hawai pada 2017. Ia merupakan projek di bawah selian NASA untuk mengkaji pencerapan Near Earth Object (NEO).

Pada ketika itu, komet ini berada pada jarak 16AU dari Matahari bersamaan dengan 2.4 billion kilometer. 

“Pemerhatian menunjukkan saiz nukleus komet ini adalah sekitar 18km, komanya berdiameter 130,000km, iaitu kira-kira 10 kali ganda diameter Bumi atau sama dengan diameter Musytari dan panjang ekornya adalah sekitar 800,000km.

Memetik MYSA, ahli astronomi menganggarkan bahawa komet C/2017 K2 (PANSTARRS) telah mengembara dari awan Oort selama kira-kira 3 juta tahun dalam orbit hiperbolik.

”Kini, Komet PANSTARRS sedang menuju ke arah Bumi dan ia akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi sekitar jarak 1.8AU pada 14 Julai 2022 dan pada 19 Disember 2022, komet itu akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Matahari (perihelion),” kata MYSA lagi.

Magnitud ketara (kecerahan) Komet PANSTARRS dijangka sekitar 10-12 dan sukar untuk dilihat mengggunakan mata kasar. Walau bagamanapun, Komet PANSTARRS tetap boleh dilihat dengan bantuan peralatan seperti teleskop bermula Mei hingga September 2022. 

“Bagi masyarakat Malaysia, komet PANSTARRS akan kelihatan di langit di Malaysia mulai Mei 2022 di ufuk timur laut selepas Matahari terbenam dan kenampakannya semakin menghala ke arah langit barat daya sehingga September 2022,” tambah MYSA. 

Komet

Komet merupakan jasad cakerawala yang terdiri daripada gumpalan batu, ais dan debu serta gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria.

Ia membeku apabila menjauhi Matahari tetapi akan mengewap membentuk kepala bergas (koma) dan ekor apabila mendekati Matahari.

Unit Astronomi (AU)

AU merujuk kepada Astromical Unit di dalam Bahasa Inggeris atau Unit Astronomi dalam Bahasa Melayu. Ia merupakan jarak purata antara Matahari dengan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10⁸ km.

Perihelion

Perihelion pula merujuk kepada kedudukan dalam orbit apabila sesuatu planet atau komet berada paling hampir dengan Matahari.

Magnitud ketara

Istilah ini merujuk kepada kecerahan sesuatu objek di langit malam.

BACA: Gotabaya Rajapaksa Sah Lepaskan Jawatan Presiden Sri Lanka

BACA JUGA: Lelaki Ditemui Mati, Dipercayai Dipukul Isteri Sendiri

 

 

Sumber: MYSA

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.