Bagi yang menggunakan perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh ke Kajang pada pagi tadi sudah pasti tertanya-tanya dengan kewujudan satu kumpulan yang memenuhi beberapa gerabak MRT. Lebih menimbulkan persoalan, gerabak tersebut dipenuhi dengan ‘bodyguard’ seperti mengawasi seseorang individu.
Menerusi gambar di atas, kelihatan ramai yang berkumpul di dalam tren tersebut memerhatikan gerak geri beberapa individu di dalamnya. Walau bagaimanapun, segalanya terjawab apabila ‘bodyguard’ yang dimaksudkan adalah pengiring kepada seorang individu yang ingin memberikan peringatan bahawa ada sesuatu yang besar bakal berlaku pada awal Ogos ini.
Individu yang dimaksudkan adalah YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam satu sesi flag off yang merupakan sebahagian daripada aktiviti MAFI bagi mempromosi MAHA 2022. Turut hadir bersama adalah YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah, Timbalan Menteri MAFI I dan YB Datuk Dr. Nik Zawawi Bin Haji Salleh, Timbalan Menteri MAFI II.
Laluan MRT Kajang dipilih kerana laluan ini mempunyai sebanyak 29 buah stesen dengan jumlah sebanyak 58 buah MRT dan juga 25 pasaraya berdekatan di sepanjang laluan.
MAHA 2022 Di MAEPS, Serdang
Untuk pengetahuan MAHA 2022 akan diadakan pada 4 hingga 14 Ogos 2022 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor. Pelbagai aktiviti menarik dan pameran pertanian terbesar dan berprestij akan disediakan di sana.
Setelah beberapa tahun tiada penganjuran, MAHA 2022 kali ini adalah bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan”. Penetapan tema ini adalah bertepatan dengan tumpuan yang sedang diberikan dalam memperkukuh agenda sekuriti makanan negara. Apa yang paling penting adalah norma-norma baharu terpaksa dilaksanakan dan pendekatan baharu diperlukan bagi memastikan jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang masa dan untuk masa depan.
Tarikan Di MAHA 2022
Antara tarikan bagi MAHA 2022 adalah menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi-inovasi tempatan dan luar negara, strategi-strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta lain-lain pendekatan yang mampu membantu sektor tersebut.
Antara aktiviti yang bakal dianjurkan adalah seperti seminar dan konvensyen, pelancaran produk pertanian, Agro Mall, Agro Belia, Empayar Makanan, Jualan Segar, MySeafood, promosi hasil pertanian, perikanan, ternakan dan banyak lagi.
Satu lagi tarikan yang menjadi tumpuan para pengunjung adalah jualan bahan-bahan pertanian dan makanan antaranya ialah produk-produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) secara fizikal dan maya, buah-buahan dan sayuran segar, anak pokok dan bunga-bungaan, ikan, makanan laut segar serta kerang-kerangan.
Penganjuran MAHA sememangnya sentiasa dinantikan kerana terdapat pelbagai aktiviti yang menarik dan sesuai untuk semua golongan umur. Terdapat pelbagai pameran, jualan dan program yang sehinggakan boleh membuatkan anda berasa tidak cukup sehari untuk menjelajahnya.
Setelah beberapa tahun tidak dianjurkan sejak 2018, tahun ini MAHA 2022 pasti akan lebih meriah dengan kehadiran pengunjung dari seluruh pelusuk negara dan juga pengunjung dari luar negara. Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk datang bersama keluarga ke MAHA 2022 bertempat di MAEPS, Serdang dari 4 hingga 14 Ogos nanti.