Rekod Imunisasi Kanak-kanak, Saringan Kesihatan Kini Di MySejahtera Berwajah Baharu
IPOH, 16 Julai (Bernama) — Rekod imunisasi kanak-kanak dan saringan kesihatan kini dipaparkan di aplikasi MySejahtera yang telah ditambah dan dikemas kini dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata justeru pengguna tidak perlu bimbang kerana langkah-langkah meningkatkan ciri keselamatan dibuat secara berterusan malah ciri-ciri baharu yang dipaparkan itu boleh dilihat sebaik aplikasi MySejahtera dikemas kini.
“Tiada pencerobohan data peribadi yang disimpan Kementerian Kesihatan (KKM), bukan disimpan mana-mana pihak lain. Data ini hanya dikongsi oleh akaun MySejahtera anda sahaja. Ini antara lain membolehkan rekod kesihatan hasil daripada pemeriksaan kesihatan dipaparkan di telefon.
“Pada masa yang sama, ciri baharu untuk rekod imunisasi kanak-kanak, bermula dengan bayi yang dilahirkan pada 1 Julai 2022 juga akan turut dipaparkan pada aplikasi MySejahtera,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Jelasnya, ciri baharu itu adalah langkah awal kementerian untuk platform MySejahtera digunakan bagi pendigitalan maklumat kesihatan yang disimpan secara manual.
Menurutnya, bagi fasa kedua, buku merah jambu (buku janji temu) yang dimiliki oleh ibu dan bayi mereka (untuk merekodkan perkembangan bayi) juga akan dimasukkan ke dalam MySejahtera dan fasa berikutnya pula melibatkan buku merah atau buku derma darah (Perkhidmatan Transfusi Darah Kebangsaan).
Khairy dalam ciapannya tujuh jam lepas, memaklumkan aplikasi MySejahtera kini berwajah baharu membolehkan pengguna memantau rekod kesihatan masing-masing selain rekod saringan kesihatan dan imunisasi anak.
Dalam pada itu ditanya mengenai Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan semalam, Khairy berkata ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara.
Jelasnya, ini kerana penjimatan yang akan dibuat KKM, tidak berkaitan soal utama seperti pembekalan ubat-ubatan sebaliknya kepada perkara lain seperti membuat program di fasiliti sendiri dan bukannya di hotel atau menggunakan katerer mewah dan sebagainya.
Dilapor, garis panduan itu antara lain menyatakan bahawa kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan serta syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) hendaklah menyusun semula program atau aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan tanpa menjejaskan program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.
Sumber: BERNAMA