Wanita Disyaki Pukul Suami Sehingga Mati Direman Tujuh Hari
Seorang wanita yang disyaki memukul suaminya sehingga mati di sebuah flat di Johor Bahru semalam ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini, lapor BERNAMA dalam satu tweet ringkas sebentar tadi.
Terdahulu, BERNAMA melaporkan penemuan mayat seorang lelaki berusia 44 tahun yang ditemukan terbaring dalam rumah. Mangsa dipercayai dipukul oleh isterinya sehingga mati
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat, kejadian berkenaan turut disaksikan oleh anak lelaki pasangan tersebut yang dipercayai berusia 11 tahun. Susulan itu, polis menahan isteri mangsa yang berusia 35 tahun. Pasangan itu difahamkan turut memiliki seorang lagi anak perempuan yang berusia dua tahun.
Raub berkata pihaknya masih menyiasat senjata dan motif kejadian serta satu kenyataan akhbar lebih lengkap akan dikeluarkan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang penduduk Zaidah Neng, 46, berkata pasangan suami isteri itu kerap bergaduh dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.
“Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.
“Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah serta bercakap seorang dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada pemberita.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Wanita yang disyaki memukul suaminya hingga mati di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
📸 Hilmizudin Daud | BERNAMA pic.twitter.com/2jqhWOz5ox
— BERNAMA (@bernamadotcom) July 16, 2022
BACA: Lelaki Ditemui Mati, Dipercayai Dipukul Isteri Sendiri
Sumber: BERNAMA