Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilapor bakal mengisytiharkan wabak cacar monyet atau monkeypox sebagai ‘kecemasan kesihatan global’ selepas angka kes jangkitannya terus menunjukkan peningkatan, lapor Daily Mail.
Dalam mesyuarat yang diadakan kali kedua dengan jawatankuasa kecemasan bersama pakar, WHO bersedia untuk memutuskan bahawa penyakit cacar monyet itu patut disenaraikan sebagai ‘ancaman antarabangsa’ ekoran mencetuskan kebimbangan global.
Dalam masa sama, WHO juga dilapor boleh mengisytiharkan perkara tersebut melalui Kecemasan Kesihatan Awam bagi Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC).
Difahamkan, PHEIC merupakan pengisytiharan rasmi tertinggi yang boleh dikeluarkan oleh WHO bagi penularan penyakit seperti cacar monyet.
Dalam pada itu, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan memaklumkan, jawatankuasa kecemasan bakal memberikan pandangan tersebut kepada ketua pengarah WHO.

Sekiranya ia dipersetujui, jawatankuasa berkenaan akan memberikan cadangan sementara bagi mengekang dan mengurangkan penularan monkeypox dengan lebih baik.
Pengarah United Kingdom Health Security Agency (UKHSA), Dr Sophia Makki berkata, “Wabak cacar monyet di UK terus merebak dengan lebih seribu kes disahkan di seluruh negara.
“Kami menjangkakan kes itu akan teus meningkat dalam beberapa hari dan minggu akan datang,” katanya, memetik Daily Mail.
Tambahnya, beliau menasihati orang awam untuk berhati-hati dengan sebarang simptom cacar monyet dan segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan jangkitan.
Sehubungan itu, jawatankuasa WHO akan memberi lebih tumpuan kepada corak dan keberkesanan langkah serta nasihat kepada masyarakat dalam menghadapi wabak itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus turut menjelaskan kepada media bahawa WHO akan bekerjasama dengan negara-negara pengeluar vaksin untuk mendapat perkongsian ubat imunisasi berkenaan.
“Kita mesti berusaha untuk menghentikan penularan wabak ini dan melaksanakan pengesanan dan membendung penyakit tersebut,” katanya.
Untuk rekod di peringkat PBB setakat ini, sebanyak 9,200 kes wabak cacar monyet sudah direkodkan di 63 negara setakat data terkini pada Selasa.
Berdasarkan statistik itu, United Kingdom mencatatkan rekod tertinggi dengan 1,735 kes bagi tempoh antara 6 Mei hingga 11 Julai baru-baru ini, di mana 1,229 kes sahaja adalah dari London.
Buat masa ini, majoriti kes yang dikesan adalah daripada kalangan lelaki gay (lelaki jalin hubungan dengan lelaki) dan sesiapa saja yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit.
Terdahulu, kebanyakan kes yang dicatatkan hanya dikesan di Afrika. Namun ia telah merebak hingga ke beberapa negara di dunia akhir-akhir ini.
Sumber: Daily Mail