Seekor anjing peliharaan di UK dilapor diabai pemiliknya dan mengalami rasa lapar yang serius hingga sanggup bertindak ‘makan’ ekor sendiri, lapor Metro UK.
Dalam masa sama, pemilik anjing berkenaan, K (bukan nama sebenar) berusia 31 tahun pula difahamkan telah didenda sebanyak RM 3,164 akibat mengabaikan haiwan peliharaannya.
Pada awalnya, dia enggan membayar kos untuk ujian darah haiwan peliharaannya itu dan berkata anjing berkenaan lebih suka ‘ditidurkan’ daripada dirawat.
Tambahan pula, K memberikan alasan bahawa dia tidak membawa anjing bernama Poppy berjumpa dengan doktor haiwan disebabkan tidak mampu.
Bagaimanapun, wanita itu akhirnya mengaku menyebabkan penderitaan dan pengabaian ke atas Poppy.
Oleh itu, dia dilarang untuk memelihara haiwan selama tiga tahun bermula pada Khamis lalu, selain dua lagi haiwan peliharaannya yang lain turut dirampas.
Justeru, anjing malang bernama Poppy itu akhirnya mendapat rawatan doktor haiwan selepas didapati sangat kurus hingga tidak mampu untuk berdiri dan dipenuhi luka.

Sehubungan itu, pihak veterinar telah bertindak menghubungi Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA) untuk menjaga Poppy hingga bulan Januari depan.
Jurucakap RSCPA, Natalie Perehovsky berkata, “Secara jelas dia tidak memberikan jagaan yang sewajarnya kepada Poppy dalam beberapa tempoh masa.
“Kami berharap sesiapa yang menghadapi masalah kewangan boleh mendapatkan bantuan menerusi organisasi yang menawarkan sokongan,” kata Natalie.
Tambah Natalie, dia yakin dan tidak ragu bahawa Poppy sakit menderita akibat pengabaian dan penjagaan yang tidak mencukupi oleh pemiliknya.
Poppy juga tidak mendapat perlindungan yang mengakibatkan haiwan itu terdedah dengan anjing lain yang mencederakannya.

Terlalu lapar, dipercayai ‘makan’ ekor sendiri
Sementara itu, menurut doktor yang merawatnya, terdapat perubahan yang paling ketara dan ia menjejaskan kulit anjing itu.
“Disebabkan ototnya yang lemah, ia telah menyebabkan kulit serta struktur tulang terkoyak dan hujung ekornya ‘hilang’.
“Masih tidak jelas sama ada kecederaan pada ekornya terjadi disebabkan trauma ataupun dirinya sendiri (kerana kelaparan yang melampau) dan tulang ekornya terdedah.
“Yang paling pelik ialah abses (jerawat) besar di belakang badan dan tulang belakang toraksnya,” kata doktor.
Difahamkan, luka itu juga berdiameter seluas lima sentimeter (cm) dan turut mengeluarkan cecair bendalir dipercayai kesan daripada kecederaan tersebut.

Sementara itu, Pusat Keadilan Staffordshiro Utara memberikan angka penilaian keadaan badan Poppy iaitu hanya sebanyak satu daripada sembilan (tahap paling rendah).
Kini, Poppy telah dijaga oleh sebuah badan amal haiwan, Alsger Animals in Need yang terletak di Cheshire.
Mereka juga sedang mencari tuan baharu yang baik hati bagi memberikan Poppy sebuah tempat untuk ia tinggal selamanya.
Penolong Pengurus Alsger Animals in Need, Lisa Williams menyatakan rasa bimbang pada awal kedatangan anjing itu dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuk gegendang telinga berlubang, masalah kulit dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, ternyata anjing itu hanya memerlukan kasih sayang dan sentiasa disenangi oleh semua orang yang bertemu dengannya, jelas Lisa.
Sumber: Metro UK