Siakap Keli
bangkai nyamuk bantu polis tangkap perompak
Gambar: Global Times/Oddity Central

Bangkai Nyamuk & Darah Di Dinding Bantu Polis Tangkap Perompak

Penemuan bangkai nyamuk yang berlumuran darah ditemui di sebuah pangsapuri berdekatan wilayah Fujian, China telah bantu pasukan polis untuk tangkap perompak.

Kedengaran seolah-olah seperti plot cerita yang ditampilkan dalam siri Crime Scene Investigation (CSI), tetapi kisah ini benar-benar berlaku di wilayah Fujian, China seperti yang dilapor Global Times baru-baru ini.

Menurut beberapa sumber berita di negara tersebut, pihak berkuasa di Fuzhou, wilayah Fujian berjaya mengheret seorang penjenayah ke muka pengadilan dengan hanya menganalisis kesan darah yang terdapat pada dinding sebuah pangsapuri.

Kredit: Global Times via Oddity Central

Difahamkan, menurut Global Times seperi yang dilapor semula oleh Oddity Central, kesan darah yang dijumpai tersebut ditemui daripada bangkai nyamuk yang telah dilenyekkan di dinding.

Ketika memeriksa lokasi kejadian, pihak polis mendapati bahawa perompak (suspek) terbabit memasuki kediaman itu dengan memanjat balkoni, selain berkemungkinan menetap di sana semalaman.

Selepas menemui kesan darah tersebut, pihak polis membuat keputusan untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap spesimen darah berkenaan.

Kredit: Global Times via Oddity Central

Bahan bukti lain yang dijumpai pihak polis

Menurut Global Times, pihak polis juga turut menemui beberapa bukti lain seperti sisa mi dan telur di dapur. Difahamkan suspek telah mengambil selimut dan bantal peluk dari almari mangsa dan meninggalkannya di atas katil.

Selain itu, suspek juga sempat menyalakan colok berdasarkan penemuan beberapa batang colok yang telah hangus. Justeru, apabila melihat seekor nyamuk mati dan dua kesan darah pada salah satu dinding, mereka memutuskan bahawa darah itu wajar dianalisis.

Setelah ujian DNA dijalankan, keputusannya menunjukkan bahawa darah itu adalah milik seorang lelaki (suspek) bernama C (bukan nama sebenar). Secara kebetulan, C rupa-rupanya memiliki banyak rekod jenayah lampau.

Kredit: Global Times

19 hari selepas rompakan itu, C akhirnya ditahan polis untuk disoal siasat dan dia mengaku bersalah atas jenayah pecah rumah tersebut, selain tiga lagi kes jenayah yang sama di lokasi berbeza. Dia kini direman dalam tahanan polis sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

Secara umumnya, nyamuk merupakan serangga yang tidak disukai oleh manusia, khususnya pada waktu malam mahupun hujan. Serangga ini sering menganggu waktu tidur lena manusia dengan menghisap darah dan meninggalkan rasa gatal pada anggota badan.

Sudah semestinya situasi tersebut sangat menjengkelkan. Namun begitu, sesiapa tidak pernah menyangka bahawa serangga yang bersaiz kecil ini rupanya ‘kunci’ utama untuk membongkar kegiatan jenayah.

Sumber: Oddity Central

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.