Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Empat Orang Dilaporkan Ditembak Dalam Insiden Pergaduhan Di Kelab Malam

Empat Orang Dilaporkan Ditembak Dalam Insiden Pergaduhan Di Kelab Malam

SEPANYOL – Empat orang dilaporkan telah ditembak di sebuah kelab malam selepas seorang lelaki bersenjata mengamuk ketika kelab tersebut penuh dan sesak dengan pengunjung.

Insiden tembakan itu dilaporkan berlaku pada awal pagi di sebuah kelab yang popular dengan kedatangan pelancong dari Britain yang terletak di kawasan tumpuan percutian Sepanyol.

Rakaman yang dikongsikan dalam media sosial menunjukkan pergaduhan itu tercetus di kalangan mereka yang sedang bersuka ria di bahagian VIP yang terdapat di dalam kelab tersebut.

Tiba-tiba datang seorang lelaki yang mengeluarkan pistolnya dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan berlakunya rempuhan yang besar ketika pengunjung panik untuk melarikan diri dari tempat itu.

Suspek yang melakukan tembakan itu kemudiannya dilaporkan ditikam di bahagian kepala serta badan dan kini berada di hospital dalam keadaan parah.

Sumber polis memberitahu, suspek bersenjata itu adalah warganegara Belanda dan salah seorang mangsa adalah warga Ireland di mana dia telah ditembak oleh suspek di bahagian dada.

Kesemua mangsa tembakan yang lain kini masih berada di hospital untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka setakat ini masih belum diketahui.

Pihak polis juga melaporkan, mereka telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.10 pagi. Tembakan itu dipercayai berlaku semasa pergaduhan antara dua kumpulan yang bersuka ria di kawasan VIP kelab pantai itu susulan seorang lelaki dihalau keluar oleh pengawal.

Melalui rakaman video itu, seorang lelaki dilihat mengambil sebotol Belvedere Vodka gergasi dan menghayunkannya ke bahagian kepalanya manakala seorang lagi menanggalkan bajunya seolah-olah dia sedang bersiap untuk membuat pukulan sebelum tembakan dilepaskan.

Terdengar juga beberapa jeritan sejurus sebelum tembakan berbunyi dan ada di antara mereka yang bercakap menggunakan bahasa Perancis.

Satu sumber memberitahu, “pengawal di kelab itu telah menghalau seorang lelaki yang terlibat dalam satu pertengkaran dan lelaki itu dipercayai kembali semula dengan membawa sebilah pisau dan pergi mencari lelaki bersenjata yang pernah bergaduh dengannya sebelum ini,” katanya.

Setakat ini, polis sedang giat melakukan siasatan akan kemungkinan yang menyebabkan suspek bertindak balas dengan mengeluarkan senjata yang dibawanya dan cuba menembak mangsa selepas ditikam.

Namun, suspek terlepas sasaran dan sebaliknya dia telah menembak empat orang pengunjung lain yang diketahui salah seorang mangsa merupakan warganegara Ireland.

Sumber: Daily Mail

Nurlizah Khazani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.