Pemandu Malaysia Kini Boleh Tukar Ke Lesen Memandu Singapura Secara Atas Talian
Mereka yang memiliki lesen memandu Malaysia dilapor kini boleh melaksanakan proses penukaran kepada lesen memandu Singapura, melalui atas talian.
Menurut laporan Mothership.sg, Polis Trafik Singapura (SPF) yang melaksanakan proses percubaan berkata, permohonan secara atas talian itu boleh dibuat bermula 14 Julai.
SPF juga berkata percubaan itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu yang dialami di ibu pejabatnya.
Bagaimana proses ini berlaku?
Dibawah peraturan baharu ini, kelayakkan pemohon akan diteliti terlebih dahulu sebelum dipanggil ke ibu pejabat SPF untuk urusan selanjutnya. Pemohon boleh menghantar permohonan mereka melalui pautan ini .
Kemudian pemohon akan menerima emel meminta untuk menghantar dokumen sokongan. Selepas penghantaran dokumen sokongan diterima, pemohon akan menerima satu maklum balas permohonan dalam tempoh 10 hari bekerja.
Setelah semua dokumen yang diminta sudah dilengkapkan dan semua kriteria-kriteria permohonan dipenuhi, pemohon akan diberi tarikh dan masa untuk pergi ke ibu pejabat Polis Trafik bersama dokumen mereka untuk pengesahan.
Pemohon juga perlu melepasi Basic Theory Test (BTT) di mana-mana pusat pemanduan di Singapura. Selain itu, mereka juga memiliki lesen memandu yang berkelayakan, dengan terjemahan rasmi lesen oleh syarikat terjemahan berdaftar Singapura jika ianya bukan dalam bahasa Inggeris.
Pemohon juga memiliki dan mempunyai salinan rekod lesen memandu daripada pihak berkuasa Perlesenan, yang menunjukkan tarikh mula permohonan dan tarikh tamat tempoh lesen memandu.
Manakala syarat terakhir yang perlu dipenuhi adalah pemohon memiliki Permit Memandu Antarabangsa (IDP).
Syarat-syarat lain yang perlu dipenuhi juga dinyatakan dalam paparan utama di pautan permohonan.
“Polis juga ketika ini menerima permohonan dalam jumlah yang tinggi dan meminta orang awam memahami situasi yang dihadapi sekiranya proses permohonan memakan masa. Semua syarat dan keaslian dokumen yang diserahkan perlu disemak dengan penuh teliti,” kata SPF lagi.
Sumber: Mothership.sg