Pengantin perempuan dilaporkan maut apabila terkena peluru sesat daripada perayaan tembakan yang diadakan di majlis kenduri kahwinnya.
Mahvash Leghaei, 24, yang sedang melangsungkan majlis perkahwinan di Firuzabad, Iran maut apabila seorang tetamu dipercayai sepupu kepada pengantin lelaki telah melepaskan tembakan dari senapang pemburu ketika menyertai perayaan melepaskan tembakan dan mengenai kepalanya.
Peluru itu juga turut telah mencederakan dua tetamu lelaki lain yang turut berada dalam majlis tersebut. Difahamkan, adat perayaan melepaskan tembakan di majlis perkahwinan adalah diharam tetapi masih dilakukan di kawasan Timur Tengah.
Jurucakap Polis, Kolonel Mehdi Jokar berkata mereka telah menerima satu laporan mengenai insiden tembakan di dewan perkahwinan di bandar Firuzabad dan anggota mereka telah dihantar ke lokasi kejadian serta-merta.
“Pegawai polis mendapati bahawa salah seorang daripada tetamu telah melepaskan tembakan menggunkan senapang yang merupakan sebahagian daripada tradisi nomad tempatan.
“Malangnya, disebabkan oleh tetamu yang terlalu ramai dan kawalan senjata api yang lemah telah menyebabkan tembakan itu terkena tiga individu iaitu dua tetamu lelaki dan pengantin perempuan.
“Suspek yang melepaskan tembakan kemudian melarikan diri dari kawasan majlis itu dan pihak polis mengesan bahawa lelaki itu masih membawa senapang itu bersama tanpa lesen yang dilepaskan di majlis perkahwinan itu,” kata jurucakap itu lagi.
Menurut laporan awal, suspek telah melepaskan dua tembakan, tembakan pertama tanpa insiden, namun tembakan kedua telah terkena kepala pengantin perempuan hingga menembusi bahagian tengkorak dan seterusnya terkena dua lagi tetamu lelaki yang lain.
Menurut jurucakap polis, pengantin perempuan itu dilaporkan koma dan kemudian meninggal dunia dan dua lagi individu lelaki yang ditembak itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Suspek dikenal pasti sebagai lelaki yang berusia 36 tahun yang juga merupakan sepupu kepada pengantin lelaki.
Difahamkan, organ mangsa telah didermakan yang telah membantu tiga individu. Menurut bapa saudaranya, mangsa merupakan pekerja sosial yang membantu penagih dadah dan mengambil keputusan untuk mendapatkan kad penderma organ tiga bulan yang lalu.
Setelah dimaklumkan tentang berita kematiannya, mereka memutuskan untuk menghormati keputusannya dan mengatur untuk organnya didermakan kepada mereka yang memerlukan, lapor Daily Mail.
BACA JUGA: Penganggur Didakwa Bunuh Ibu Kandung
Sumber: Daily Mail.