Langgar Hukum Alam, Aiskrim Ini Tak Cair Walau Diletak Bawah Suhu Lebih 30°C
Sebuah syarikat aiskrim premium di China telah mencetuskan kontroversi di media sosial kerana salah satu produknya yang melanggar hukum alami. Salah satu aiskrim keluarannya dikatakan tidak cair walaupun disimpan pada suhu tinggi untuk jangka masa lama.
Pada 1 Julai, sebuah syarikat aiskrim telah tular di media sosial apabila seseorang telah memuatnaik foto dan video aiskrim tersebut. Dalam foto dan video tersebut menunjukkan aiskrim syarikat terbabit diletakkan bersebelahan dengan sebatang termometer. Termometer merkuri itu menunjukkan suhu 31°C, suhu yang semestinya sudah melebihi takat cair (0°C).
Secara umumnya, syarikat itu merupakan satu syarikat yang terkenal untuk penghasilan produknya yang berkualiti tinggi. Poster asal produk kontroversi itu mengatakan bahawa pemanis mulut itu boleh disimpan pada suhu tersebut untuk tempoh anggaran satu jam setengah. Peliknya, aiskrim tersebut langsung tidak mengalami proses peleburan.
Menurut Oddity Central, hantaran mengenai aiskrim ganjil ini telah meraih banyak perhatian dan mengalakkan orang awam untuk melakukan eksperimen terhadap aiskrim tersebut. Pelbagai eksperimen yang dilakukan oleh orang awam termasuklah membakar aiskrim dengan menggunakan pencucuh api. Tujuan eksperimen adalah untuk melihat kemampuan aiskrim itu cair dan hasil eksperimen tersebut menunjukkan ia masih lagi tidak cair.

Pada 5 Julai, syarikat itu telah menjadi buah mulut sekali lagi apabila terdapat satu video tular seorang manusia yang menggunakan pencucuh api untuk mencairkan aiskrim itu. Walaupun bahagian luar pemanis mulut itu hangit, aiskrim masih tidak cair, Video yang tular tersebut diibaratkan seperti mencurah minyak ke api kerana terdapat lambakan video yang menampilkan pengisian yang sama selepas itu.
Bagaimana aiskrim ini tidak mengalami sebarang peleburan?
Apabila kontroversi mengenai kualiti aiskrim premiumnya semakin meningkat, syarikat itu akhirnya mengeluarkan kenyataan untuk menenangkan warganet, khususnya pelanggan produk mereka. Mereka mendakwa bahawa aiskrim itu menggunakan ‘agen penambah kelikatan’ untuk menghalang aiskrim tersebut daripada mudah cair. Namun begitu, mereka memberi jaminan kepada semua orang bahawa produknya masih memenuhi piawaian keselamatan makanan negara.

Kenyataan itu sedikit telah menenangkan warganet, memandangkan syarikat berkenaan memiliki reputasi besar dalam penghasilan aiskrim yang berkualiti tinggi. Menurut beberapa sumber di China, harga aiskrimnya yang paling murah ialah 12 yuan (RM7.93), iaitu beberapa kali ganda lebih mahal berbanding jenama lain. Harga aiskrim premiumnya pula boleh mencecah sehingga 160 yuan (RM 105.71).
“Adakah produk ini selamat untuk tubuh badan manusia apabila ia menghalang peleburan dalam jangka masa panjang secara tidak semula jadi,” tanya seorang pengguna Weibo.

“Keselamatan makanan merupakan satu perkara penting dan pengesahan praktikal perlu dilakukan segera untuk menghilangkan rasa was-was pengguna,” menurut seorang wartawan dalam People’s Daily
Syarikat berkenaan merupakan salah satu pengeluar aiskrim yang berjaya di China tetapi reputasinya dan keuntungan merosot berikutan kontroversi ini.
Walau bagaimanapun, satu misteri yang masih membelenggu pemikiran kita iaitu, bagaimana aiskrim itu boleh hangit?
Sumber: Oddity Central