Berang Kekasih Kena Mengorat, Lelaki Bawa ‘Geng’ Belasah Mangsa
TANGERANG, INDONESIA – Berang teman wanita diganggu, suspek bersama tiga rakannya bertindak memukul mangsa sehingga mengalami luka lebam di beberapa bahagian wajah dan tubuh badan, lapor Kompas.com.
Suspek yang berusia 30 tahun itu telah mengajak tiga rakannya yang lain di mana masing-masing berusia antara 19 hingga 27 tahun menjumpai mangsa di Kampung Karang Anyar, Daerah Neglasari, Bandar Tangerang.
Ketua Polis Sektor Neglasari, Kompol Putra Pratama mengatakan, pergaduhan itu terjadi pada hari Khamis 16 Jun sekitar pukul 1 petang.
“Diduga kerana cemburu, suspek mengajak kawan-kawannya untuk menganiaya mangsa,” kata Putra ketika ditemu bual.
Beliau memberitahu, kejadian itu berpunca apabila mangsa membuat temu janji dengan seorang wanita yang merupakan kekasih suspek di mana mangsa dan wanita itu berkenalan melalui laman media sosial Facebook.
Ketika mangsa sudah berada di lokasi temu janji yang ditetapkan, suspek datang dan mendakwa sebagai teman lelaki kepada wanita itu di mana wanita itulah yang patut dijumpai oleh mangsa ketika itu.
“Lelaki itu bersama beberapa rakannya segera menyerang dengan memukul dan menendang mangsa bersama-sama,” kata Putra.
Mangsa kemudiannya terjatuh dan mengalami lebam di beberapa bahagian muka dan badan. Menurut laporan, mangsa melaporkan kejadian itu di balai polis berhampirannya di Tangerang.
Ketika dalam proses penangkapan pihak polis, suspek telah melarikan diri ke kawasan Rajeg, Daerah Tangerang. Setelah lebih sebulan melarikan diri, akhirnya suspek berhasil ditangkap pada hari Rabu 20 Julai lalu pada pukul 2 pagi.
“Unit Siasatan Jenayah Polis Sektor Neglasari telah menahan empat suspek yang disyaki melakukan perbuatan jenayah kerana telah melakukan keganasan secara terbuka terhadap orang ramai,” kata Putra.
Suspek utama ditahan di kawasan sawah tidak jauh dari tempat mereka melarikan diri iaitu di Kampung Jungkel di Daerah Tangerang.
Ketika ini, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Neglasari. Keempat-empat mereka didakwa mengikut Perkara 170 Kanun Jenayah dengan ancaman akan dipenjarakan selama lima tahun enam bulan.
Sumber: Kompas.com