Siakap Keli

Ini Antara Bahan Makanan Kita Yang Mungkin Terjejas Jika Negara Luar Henti Pengeksportan

Pengarah Program Makanan Dunia (WFP) baru-baru ini telah memberi amaran mengenai ketidakstabilan jaminan makanan pada tahun hadapan.

Krisis ini dipercayai turut berpunca daripada krisis antara Ukraine-Rusia di mana Ukraine merupakan salah satu pembekal utama makanan di dunia. Adakah Malaysia akan turut terkesan sama dengan isu ini?

Berikutan beberapa negara telahpun mengeluarkan larangan pengeksportan makanan bagi memastikan keperluan domestik mereka mencukupi, hal ini sedikit sebanyak berpotensi menjejaskan jaminan makanan tempatan. Hal ini kerana negara kita mengimport RM55.5 bilion produk makanan pada 2020 berbanding pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak RM21.7 bilion.

Memetik kenyataan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak RM482.8 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun bagi mengimport makanan berbanding RM296 bilion bagi pengeksportan ke luar negara.

Apakah makanan yang diimport ke Malaysia?

Berdasarkan kenyataan tersebut, 70 peratus daripada daging kambing import di Malaysia adalah berasal dari Australia manakala mangga, kelapa dan daging lembu dibawa masuk dari Thailand, Indonesia dan India.

Sebanyak RM879.4 juta dibelanjakan untuk pengimportan daging kambing, RM87.9 juta untuk mangga, RM266.1 juta bagi kelapa dan RM2.2 bilion daging lembu bagi memenuhi keperluan tempatan.

Selain itu, Malaysia turut mengimport bawang besar, produk tenusu, kopi, tepung gandum, bawang kecil, ubi kentang dan minyak masak. Memetik Laporan Tinjauan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2019, kesemua barangan ini meliputi 14.1 peratus daripada item yang kerap dibelanjakan oleh isi rumah.

Justeru, sekatan eksport oleh negara luar termasuk Indonesia yang merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia mampu menjejaskan bekalan negara kita.

Lantaran itu, bagi mengatasi situasi ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menganjurkan pelbagai program bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin. Antara program besar yang diadakan adalah MAHA, singkatan kepada Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show yang diadakan secara dwitahunan.

Selain itu, MAFI dengan kerjasama FAMA turut melaksanakan Program Khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) bagi memberi peluang kepada pengguna untuk membeli produk pertanian dengan nilai penjimatan sehingga 10 peratus dari harga pasaran.

Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan

Bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan, Expo MAHA 2022 mengajak orang ramai mempelajari ilmu pertanian dan perniagaan melalui bengkel mereka. Pengunjung juga boleh mendapatkan bahan mentah serta produk pertanian pada harga rendah bagi kegunaan harian. Antaranya sayur-sayuran, buah-buahan, produk tenusu serta herba.

Untuk makluman, 16 Julai lalu berlangsungnya acara flag off bagi mempromosikan pameran MAHA pada tahun ini di Sarawak di mana orang ramai berpeluang merasai sembilan menu makanan termasuk Laksa Sarawak, Mee Kolok, Bihun Belacan, Ayam Pansuh dan banyak lagi. Kesemua menu ini juga boleh didapati ketika acara MAHA di MAEPS Serdang pada Ogos akan datang.

pameran maha 2022

“Ini merupakan siri Road to MAHA ketiga dan seterusnya akan diadakan Zon Selatan, Zon Sabah, Zon Timur dan di Zon Tengah iaitu di MAEPS sebagai destinasi terakhir bagi menghebahkan kepada orang ramai mengenai penganjuran MAHA 2022,” kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, YBhg. Datuk Badrul Hisham Bin Mohd.

Pengunjung MAHA 2022 juga bakal dihidangkan dengan 333 menu Makanan Keluarga Malaysia dan 101 menu di Kluster Food Truck Fiesta.

Tak terhenti di situ, anda juga berpeluang melihat tanaman hiasan dan bunga-bungaan di pameran florikultur pada acara tersebut. Bolehlah belikan pokok bunga cantik-cantik untuk mak nanti.

Bagi para pengusaha industri pertanian, anda turut berpeluang menjana pendapatan tambahan dengan menyertai pameran atau jualan di sana. Malah, acara ini berjaya mencatat hasil jualan sebanyak RM215 juta pada pameran terakhir MAHA pada 2018 yang lalu.

Anda pula boleh membina rangkaian dan menyertai seminar perniagaan di sana bagi mengembangkan lagi jenama sendiri. Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan tapak, boleh layari laman rasmi MAHA di sini.

Kembali selepas empat tahun

Kali terakhir dianjurkan pada empat tahun lepas, pameran MAHA 2022 pada 4 hingga 14 Ogos tahun ini dianggarkan mampu mencecah hasil jualan RM250 juta dengan 1,500 ruang pameran disediakan. Seramai 1.1 juta orang pengunjung dijangka hadir sepanjang pameran 11 hari di MAEPS Serdang ini.

Bagi anda yang jauh dari Serdang, jangan risau. Anda juga boleh sertai program ini secara maya dan melakukan transaksi secara atas talian sahaja di sini.

Jadi tanda kalendar anda siap-siap. Jom ajak rakan-rakan, keluarga dan jiran-jiran untuk meriahkan pameran MAHA 2022 kali ini di MAEPS Serdang pada Ogos nanti. Jumpa anda di sana!

https://www.facebook.com/ExpoMAHAOfficial/posts/pfbid0BKzrnSp5TMWPTnyrfY2PwgDjWVasYZZchzPNgcEaJjfsyTrc4keZco48DahMuZ1il

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.