Tidak siap berbulan lamanya walaupun sudah habis bayar, akhirnya rumah impian pun musnah. Ramai tidak sedar, ini sebenarnya punca masalah projek ubah suai kediaman gagal.
Sebagai pemilik rumah yang mahu mengubah suai kediaman sendiri, pasti anda perlu berurusan dengan kontraktor untuk tujuan tersebut. Iklan yang dipaparkan di media sosial nampak macam gah. Namun siapa sangka, hasilnya bukanlah indah tetapi punah. Duit kos semua sudah dibayar, tapi projek langsung tak ke mana.
“Jah, bila nak siap rumah kau? Dah lama juga aku tengok. Memang macam itu ke rupanya?”
“Entahlah kak Eton. Jah pun tak tahulah, dah dekat lima bulan dah rumah Jah macam tu je tak siap-siap. Jah rasa macam kena tipu,” kata Puan Khadijah dengan nada kesal.

Demikianlah contoh situasi yang melanda Khadijah seperti dalam gambar hiasan di atas. Duit dah dilabur, hasilnya tiada. Siapalah tak kecoh kan?
Pernahkah anda atau kenalan menghadapi situasi sebegitu?
Semua orang mengidamkan untuk memiliki sebuah kediaman yang sangat luas. Walau bagaimanapun, bukan semua orang mampu untuk memiliki rumah besar seperti banglo disebabkan faktor kewangan. Maka, pengubahsuaian rumah sering dilakukan bagi membesarkan ruang kediaman sedia ada dan biasanya dilakukan setelah pemilik rumah memiliki simpanan wang yang mencukupi.

Namun begitu, kita masih tidak dapat lari daripada tersepit dalam situasi sukar apabila perkara itu melibatkan insan yang tidak memiliki kredibiliti dan tidak bertanggungjawab. Hal ini juga berlaku dalam proses pengubahsuaian rumah dan menimbulkan kegusaran kepada pemilik kediaman untuk melakukan pengubahsuaian rumahnya.
Perkara ini telah memberikan teka- teki dan pelbagai soalan yang dilontar oleh seorang pengguna Facebook, Nor Hisyam Md Nor menerusi hantaran seorang kontraktor, Puan Mahanom Mohammad pada tarikh 17 Julai baru-baru ini.

Soalan-soalan yang diutarakan oleh saudara Nor Hisyam Md Nor telah menarik perhatian beliau. Sehubungan itu, Puan Mahanom menulis satu perkongsian di Facebook miliknya yang menyentuh konteks isu pengubahsuaian rumah yang gagal. Percaya atau tidak, terdapat segelintir kontraktor yang tidak mampu melaksanakan tugasan diberi atas faktor tertentu, akhirnya projek gagal dan kita sendiri terpaksa berputih mata.
Oleh itu, mari kita ikuti perkongsian oleh Puan Mahanom seperti yang kami kongsikan semula dalam artikel ini. Semoga bermanfaat & menjadi panduan untuk semua.
Mengapa projek ubah suai kediaman saya gagal?
Tanpa melengah masa lagi, mari kita telusuri jawapan yang komprehensif daripada Puan Mahanom Mohamad seperti berikut:
Saya suka soalan macam ni (gambar di atas). Terima kasih tuan Nor Hisyam.
1. Saya juga jumpa banyak promosi, iklan berbayar, serta kerja hebahan aktif dijalankan oleh kontraktor.
Ada antara mereka sudah menetapkan target jualan ketika membuat iklan, sebagai contoh 50 unit rumah atau RM10 juta kontrak dalam tempoh satu tahun dengan 15 pasukan tersedia siap dengan loji, kenderaan dan lain-lain.
2. Apabila kita hendak buat pemasaran berbayar seperti iklan, kita wajib mengetahui hasil pulangan pelaburan ROI atau (return of investment juga lebih mudah dengan singkatan, ROI) daripada servis yang hendak diiklankan.
Seusai kita mengetahui ROI, kita boleh buat risk management, iaitu menguruskan risiko sama ada rugi iklan tapi tiada hasil jualan.

3. Dengan ROI juga, kita boleh bersedia dengan risiko operasi dan bersedia dari segi kapasiti, kemampuan dan kemahiran. Inilah antara punca hasil jualan dari iklan masuk, tapi akhirnya kontraktor tidak boleh teruskan projek kerana tidak buat ROI iklannya.
4. Bisnes kontraktor pula sangat unik. Iklan pada hari ini sekiranya menyakinkan pelanggan, kontrak hanya terakad pada 3 bulan akan datang, dan bayaran keseluruhan projek pula akan diterima pada 6-12 bulan yang akan datang.

Sekiranya akad terikat dalam masa 1-2 minggu, memang ada potensi untuk kontraktor itu melanggar banyak peraturan seperti tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa, sehingga mendedahkan projek mereka untuk diarahkan berhenti.
Ada juga akad diikat dalam masa singkat hingga desain rekabentuk dan strukturnya dibuat bukan mengikut ketahanan tetapi mengikut penjimatan kos.
Terlalu ingin berjimat punya pasal, baru naik papak (slab) dan dia sudah nampak struktur tiangnya bakal bermasalah daripada hasil kerja binaan asas (foundation) yang huru-hara. Sebelum pemilik bertanya, baik mereka cabut lari dahulu. Sebelum ‘ghaib’, mereka akan meminta advance payment terlebih dahulu.
5. Projek banyak bukan tanda aras kontraktor berjaya sekiranya dia tidak bersedia dari segi kemampuan. Terutamanya, kemampuan dalam mengurus emosi dan nafsu. Duit banyak, terus menjoli dahulu.
Banyak projek pembinaan rumah terbengkalai yang sampai ke pengetahuan saya disebabkan kontraktor tidak mempunyai kemampuan mengurus kontrak, tapak bina, tukang, barang dan aliran tunai (cashflow).

Akhirnya, pada masa yang dia sudah ada tukang dan barang, aliran tunainya meletup kerana gagal mengimbangi antara kos projek dan kos operasi.
6. Pada masa yang sama, saya juga terjumpa banyak iklan yang berunsur penipuan (scam), seperti membina rumah pada harga tak masuk akal, menjual pelan rumah yang tiada kelulusan majlis untuk membina, menawarkan pakej fully furnish, umrah, kereta dan sebagainya.
7. Selain iklan memiliki unsur penipuan, saya juga terjumpa banyak iklan berunsur tawaran perkhidmatan yang berunsur penipuan juga, seperti memposisikan diri mereka seperti arkitek, jurutera, pelukis pelan.
Ada yang siap posing gambar work in progress, tetapi bukan tapak pembinaannya, ia merupakan tapak pembinaan orang lain.
Yang menipu pemilik, mengaku dia adalah seorang kontraktor pun ramai. Bila dah dapat kontrak, dia jual pada tukang-tukang yang tiada lesen dan dia hanya makan untung atas angin. Yang ini bukanlah kontraktor, tapi broker.

Para pemilik rumah kena lebih berhati-hati dan mengambil tahu peraturan dan proses yang betul daripada sumber yang betul. Paling selamat adalah mencari informasi tersebut melalui laman web majlis.
9. Kita memang kasihan melihat pemilik rumah teraniaya. Oleh itu, benda yang saya selalu tekankan pada pemilik adalah pastikan sebut harga lengkap serta berspesifikasi dan ada kontrak untuk rujukan.

Paling penting, pemilik rumah kena tahu di mana hendak mencari kontraktor tersebut, agar dapat elakkan kontraktor yang dilantik itu lari tidak dapat dikesan.
10. Bagi kontraktor yang hendak membuat iklan, jangan hanya mempelajari seni iklan sahaja. Belajarlah dari sudut teknikalnya sekali. Ambil tahu nisbah pengiraan, mesej penjenamaan dan jualan yang hendak disampaikan, Search Engine Optimisation (SEO), leveraging dan sebagainya.
Hal ini dapat mengelakkan diri dari simptom terlalu banyak projek tetapi tiada kemampuan untuk menjalankannya. Akhirnya bukan sahaja menganiaya pelanggan tetapi juga menganiaya bisnes sendiri.
Semoga perkongsian yang dikongsikan olen Puan Mahanom Mohammad dapat menberi pencerahan kepada semua khususnya bagi anda yang masih dilema untuk memilih kontraktor tepat untuk projek rumah anda.
Sedikit info, Puan Mahanom yang juga merupakan CIDB Award-Winning Contractor gemar berkongsi ilmu mengenai dunia pembinaan. Bukan itu sahaja, beliau juga turut pernah menulis beberapa buku mengenai bidang pembinaaan, khususnya dalam hal ehwal kontraktor.
Sumber: Facebook Mahanon Mohammad