Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, 21 Julai 2022. Seminar tersebut yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Perseketuan turut mengetengahkan usaha untuk memperkasa peranan golongan lelaki selaku pemimpin, pelindung serta pembela keluarga dan masyarakat.
Seperti yang diungkapkan menerusi ucapan YB Senator Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sekiranya tanggungjawab lelaki khususnya suami diperkasakan, para isteri akan menikmati natijah kebahagiaan yang akan membentuk keluarga harmoni.
Ditambah pula sekarang, pelbagai berita dilaporkan mengenai kejadian bunuh di kalangan ahli keluarga sendiri yang sangat membimbangkan.
Mutakhir ini, seperti dilaporkan oleh media, kejadian bunuh di kalangan ahli keluarga sendiri amat mendukacita dan membimbangkan. Dalam pada masa yang sama, kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial pada hari ini. Pendidikan anak-anak akan menjadi terabai apabila ibu bapa mereka sering bergaduh dan berantakan. Adalah lebih parah, apabila si ayah mendera dan memukul fizikal isteri dan anak-anak. Ini adalah realiti yang selalu kita baca dalam laporan akhbar.
Dalam mana yang sama, beliau juga mengingatkan bahawa agensi-agensi Islam khususnya di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu segara menyusun program-program yang berimpak tinggi bagi mengatasi perkara tersebut.
Sebagaimana kita sedia maklum, lelaki adalah insan yang diciptakan Allah untuk memikul tanggungjawab utama dalam meneraju institusi kekeluargaan. Peranan lelaki amat penting bagi memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia.
Imam Ibnu Kathir juga berpandangan, kaum lelaki dianggap sebagai pemimpin, hakim dan pendidik kepada golongan wanita. Malah pada masa yang sama, golongan lelaki diangggap lebih utama kerana tugas kenabian itu dikhususkan kepada lelaki.
Dikala persepsi umum menampakkan pelajar perempuan lebih ramai berada di menara gading, penghuni pusat serenti dan penjara pula dipenuhi oleh majoriti golongan lelaki.Tidak kurang juga golongan remaja dan belia lelaki yang dilihat segelintirnya seolah-olah sudah terhakis sifat kelelakiannya, bahkan cenderung ingin berpenampilan seperti wanita.
Persoalannya, apakah benar dakwaan golongan lelaki hari ini sudah hilang sifat Qawwamnya? Atau golongan lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi? Namun saya amat yakin, impian untuk meramaikan lelaki Qawwam yang didambakan sebagaimana panduan daripada al-Quran dan al-Hadith masih dapat kita sama-sama realisasikan.
Dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu terperangkap dengan gerakan feminisme Barat yang mahu menyamaratakan kedudukan lelaki dan perempuan atas dasar keadilan sosial, sehingga golongan lelaki dianggap bersifat patriaki atau terlalu mengongkong dalam semua aspek kehidupan.
Tambahnya lagi, disebabkan itulah Inisiatif Lelaki Qawwam diwujudkan bagi mengukuhkan pemerkasaan tanggungjawa dan peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada golongan wanita, ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya.