Baru-baru ini, tular satu rakaman berdurasi 31 saat yang dimuat naik di sebuah akaun TikTok menunjukkan sebuah Kereta Peronda Polis (MPV) disyaki telah mengambil suapan berhampiran stesen minyak Shell.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Bin Hj. Abdul Shukor berkata, siasatan awal terhadap klip video tersebut mendapati ia mungkin berlaku di Stesen Minyak Shell Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban menghala ke pusat bandar berhampiran pintu gerbang Kuala Lumpur.
“Usaha untuk mengesan serta mengambil keterangan pemilik akaun TikTok berkenaan sedang dijalankan bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menyeru pemilik akaun TikTok tersebut mahupun orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan tarikh dan masa kejadian serta no. pendaftaran Kereta Peronda Polis berkenaan untuk tampil,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh hubungi di saluran Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.
Sumber: Polis KL