Siakap Keli
protest panama
Kredit: Twitter

Bermula Dari Golongan Guru, Ini Apa Yang Rakyat Panama Tuntut Dari Kerajaan Sepanjang 3 Minggu ‘Protest’

Tunjuk perasaan yang bermula dari golongan guru, inilah penjelasan sebenar apa yang rakyat Panama tuntut dari kerajaan dalam  ‘protest’ selama tiga minggu.

Panama merupakan salah satu negara yang sedang menangani rusuhan berserta krisis kewangan. Di sini, kita akan melihat desakan daripada pihak penunjuk perasaan (rakyat) dan maklum balas daripada pihak kerajaan.

Ribuan penunjuk perasaan di Panama telah mengambil tempat mereka di jalanan dalam beberapa minggu ini. Hal ini bertujuan untuk menggesa kerajaan agar meletakkan titik noktah kepada inflasi dan korupsi di negara tersebut.

Kredit: @DDNewslive (Twitter)

Presiden Panama, Laurentino Cortizo telah mengumumkan langkah-langkah untuk mengurangkan kos bahan api dan meletakkan had harga barangan dan makanan asas. Walaupun begitu, penunjuk perasaan mengatakan apa yang dikatakan oleh beliau masih tidak mencukupi dan berjanji untuk meneruskan demonstrasi.

Berikut merupakan perkara yang anda patut tahu mengenai sesi tunjuk perasaan yang telah menjadi salah satu rusuhan paling lama berlaku di Panama dalam beberapa dekad.

Mengapa terdapat sesi tunjuk perasaan @ protest di Panama dan apa yang dituntut oleh penunjuk perasaan?

Rusuhan terbaharu berlaku ketika Panama melawan kadar inflasi sebanyak 4.2 peratus pada bulan Mei; bilangan pengangguran kira-kira 10 peratus; dan peningkatan kos bahan api hampir 50 peratus sejak Januari.

Mengejutkan, guru-guru merupakan kumpulan pertama yang berdemonstrasi pada awal bulan Julai. Kemudian, mereka telah disertai oleh kumpulan lain, termasuklah pekerja binaan, pelajar dan kumpulan orang asal.

Pada mulanya, penunjuk perasaan hanya menggesa pembekuan dan penurunan harga bahan api, had harga makanan dan peningkatan dalam bajet untuk pendidikan, tetapi tuntutan itu semakin meluas. Hal ini termasuklah rundingan nasional untuk menangani rasuah politik dan membincangkan reformasi politik yang lebih besar.

Hal ini diakui oleh seorang pelajar jurusan perubatan, Janireth Dominguez kepada pemberita Al Jazeera.

“Keadaan semasa di Panama sukar dipercayai. Tiada bekalan perubatan, gaji sedia ada dipotong, dan tiada peluang pekerjaan. Tiada wang untuk membayar doktor. Sebagai seorang pelajar, masa depan saya sangat membimbangkan,” katanya.

Apakah kesannya?

Di wilayah tengah Veraguas, penunjuk perasaan telah menyekat lebuh raya Pan-Amerika yang menjejaskan akses barangan ke Terusan Panama dari negara Amerika Tengah yang lain. 80 peratus penggunaan lebuh raya itu adalah laluan utama pengangkutan buah-buahan dan sayur-sayuran ke Panama.

Kredit: @Urbano49025657 (Twitter)

Justeru, pakar ekonomi Panama telah memberi amaran bahawa demonstrasi itu telah menyebabkan negara kerugian berjuta-juta dolar dan akan membawa kepada kekurangan bahan api dan makanan. Selain itu, kebanyakan gerai di pasar hasil utama Panama terpaksa tutup awal disebabkan kekurangan buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Semuanya tersekat, hanya beberapa barangan sahaja yang sampai. Hanya ada sedikit tomato, bawang, lada, atau lobak merah dan kentang. Dan biasanya, kami hanya boleh menjual 30 peratus atau apa-apa sahaja yang sampai kerana selebihnya sudah rosak akibat disekat berhari-hari,” luah seorang penjual, Roberto Villarreal memberitahu Al Jazeera.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan?

Berikutan sesi tunjuk perasaan yang berlaku, Cortizo telah mengumumkan pengurangan harga bahan api dan rancangan untuk mengehadkan harga 10 bahan asas.  Beliau juga telah menyalahkan pandemik COVID-19 dan perang di Ukraine atas peningkatan kos sara diri.

Kredit: Nation World News

“Kini, salah satu masalah yang melanda rakyat Panama dan dunia adalah kenaikan harga bahan api berserta implikasinya. Atas sebab itu, saya mengadakan perbincangan untuk menangani kos bahan api yang tinggi, juga secara langsung memberi kesan kepada kos makanan ruji, berserta objektif mencari penyelesaian konkrit dan boleh direalisasikan,” kata Cortizo.

Pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan  Cortizo bersetuju untuk mengurangkan lagi harga gas daripada RM17.60 kepada RM14.50 segelen, berbeza dengan Jun iaitu RM23.15 segelen. Akan tetapi, langkah tersebut masih tidak mencukupi untuk menenangkan penunjuk perasaan. Malah, mereka telah menambah sekatan jalan baharu dan berjanji untuk meneruskan bantahan.

Seorang penganalisis politik, Guillermo Ruiz mengatakan bahawa sebahagian daripada masalah itu terletak pada pemulihan ekonomi yang bersifat tidak sama rata untuk pelbagai kelas sosial Panama selepas wabak berlalu.

“Nombor makro adalah berdasarkan beberapa item – logistik, syarikat penerbangan nasional, perlombongan, dan Terusan Panama.

“Tetapi pertumbuhan itu tidak memberi kesan kepada penduduk semasa harga meningkat. Maka, rakyat Panama daripada kelas pekerja mempersoalkan, jika negara berkembang sebanyak 6.5 peratus, mengapa mereka tidak mampu membayar ubat atau petrol,” katanya.

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.