Siakap Keli
fakta jakarta international stadium
Gambar: Detik.com

Guna Rumput Campuran, Ini Lima Fakta Menarik Jakarta International Stadium Yang Baru Rasmi

Mungkin ramai yang belum mengetahui mengenai fakta stadium terbaharu di Indonesia yang baru dirasmikan iaitu Stadium Antarabangsa Jakarta (Jakarta International Stadium – JIS).

Pada 24 Julai semalam, JIS telah dirasmikan dan disusuli satu perlawanan persahabatan antara kelab bola sepak tempatan, Persija Jakarta dengan pasukan Chonburi dari Thailand.

Berbalik kepada konteks, JIS dibina dengan pelbagai kelengkapan serta fasiliti yang cukup menarik, lebih-lebih lagi ia dikatakan seiring dengan kehendak arus bola sepak moden kini.

Oleh itu, mari kita ketahui lima fakta menarik mengenai JIS seperti yang dilapor dalam Detik.com.

Kelebihan Jakarta International Stadium (JIS)

1. Atap stadium yang boleh dibuka-tutup

Untuk pengetahuan anda, JIS merupakan salah sebuah stadium yang mempunyai bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.  Hanya beberapa stadium sahaja di dunia yang mempunyai kemudahan seperti ini, misalnya Mercedes-Benz Stadium di Atlanta, Amerika Syarikat.

2. Padang hybrid turf

Rumput yang digunakan di atas padang stadium ini adalah jenis hybrid turf. Rumput  ini merupakan campuran rumput biasa dan sintetik. Tambahan pula, JIS juga bakal memiliki kemudahan lain seperti sebuah restoran, ruang VIP serta bilik persalinan yang cukup mewah. Tidak dilupakan juga,  stadium ini adalah mesra penyokong orang kurang upaya (OKU).

Gambar: Detik.com

3. Kapasiti Yang Besar

Stadium ini mampu memuatkan seramai 82,000 penonton dalam satu-satu masa. Hal ini kerana strukturnya yang dibina selari dengan fasiliti stadium bola sepak moden serta tidak mempunyai trek larian seperti kebanyakan stadium lain. Sementara itu, JIS yang terletak di Jakarta Utara ini dibina tiga tingkat, iaitu lower, middle dan upper.

4. Kos pembinaan

Dianggarkan kos pembinaan JIS adalah sebanyak RM1.4 bilion. Jadi tidak disangkal lagi, pembiayaan kos sebesar itu mampu membina sebuah stadium berkelas dunia sepertinya. Stadium ini juga telah menggantikan stadium sebelum ini iaitu Stadium Lebak Bulus.

5. Padang latihan yang mengikuti standard antarabangsa

JIS juga difahamkan mempunyai dua padang yang bertaraf antarabangsa. Walaupun eksklusif sebagai stadium rasmi negara, menariknya ia juga boleh disewa oleh orang awam dengan kos serendah RM595. Imbas kembali, JIS mula dibina sejak 14 Mac 2019 dan pembinaannya selesai pada tahun ini yang hanya mengambil tempoh tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

Sumber: Detik.com

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.